"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga Nepal ancam budak 3 tahun dipercayai mahu wang beli makanan

Bernama




GURUN: Seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun berdepan detik cemas apabila ditangkap dan cuba dilarikan seorang warga Nepal bersenjatakan pisau di hadapan sebuah kedai makan di pekan Jeniang, kira-kira 7 pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Muda Zaidy Che Hassan, berkata kejadian berlaku ketika bapa kanak-kanak itu meninggalkannya seorang diri di atas motosikal yang diparkir di tepi jalan untuk membayar dan mengambil tempahan roti canai di kedai itu.

“Menurut bapa mangsa, anaknya ditinggalkan bersendirian dalam keadaan duduk di bahagian hadapan motosikal dan kakinya diletakkan di dalam raga motosikal. Jarak kedai makan dengan motosikal kira-kira enam meter.

“Menurut saksi di tempat kejadian, suspek berusia 26 tahun itu dilihat meluru ke arah mangsa lalu mendukungnya dan mengundur beberapa langkah sambil mengacukan pisau ke arah leher kanak-kanak tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek bercakap dalam bahasa tidak difahami (bahasa Nepal) seolah-olah mahu meminta wang untuk makan kepada bapa mangsa yang berada di hadapan suspek ketika itu.

“Bapa mangsa yang panik cuba menenangkan mangsa serta memujuk supaya suspek menyerahkan semula anaknya, lebih kurang dua hingga tiga minit. Dalam masa sama orang awam yang ada berhampiran berjaya menarik tangan suspek dari arah belakang dan mangsa berjaya diselamatkan.

“Suspek ditahan dan sebilah pisau berhulu kuning turut dirampas. Mangsa turut dirujuk ke hospital untuk rawatan dan pemeriksaan selanjutnya,” katanya.

Zaidy berkata siasatan awal mendapati suspek masuk ke negara ini sejak sebulan lalu untuk bekerja di sebuah kilang di Sungai Lalang, namun melarikan diri daripada majikannya dipercayai akibat tekanan kerja.

“Semakan mendapati majikan suspek pernah membuat laporan polis pada 8 Nov lepas menyatakan suspek melarikan diri. Soal siasat awal mendapati motif suspek bertindak demikian kerana terlalu tertekan dengan hidupnya dan berada dalam keadaan kelaparan ketika kejadian kerana sudah beberapa hari tidak makan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya (ABKLSB) 1958.

Tiada ulasan: