"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Selamat datang ke neraka' - Ucap pengawal penjara Israel

Bernama-Wafa

Ramallah: "Selamat datang ke neraka" itulah kata-kata yang dilontarkan seorang pengawal penjara rejim Israel kepada penduduk Palestin Fouad Hassan ketika dia dibawa ke penjara Megiddo, di Israel pada 5 November lalu.

Walaupun hanya ditahan beberapa hari, kata-kata itu masih segar dalam ingatannya.

Memang benar penjara itu bagaikan neraka dan Fouad Hassan menyaksikan sendiri bagaimana tahanan Palestin diseksa dengan kejam oleh tentera penceroboh Israel.

Setiap tahanan pasti mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk penyeksaan dan ada yang terpaksa menderita pelbagai jenis penyeksaan sebaik ditahan sehinggalah disumbat ke dalam sel tahanan, menurut Agensi Berita Palestin (WAFA).

"Ia tragedi yang amat dahsyat yang pernah saya alami," katanya menerusi rakaman audio yang dihantar kepada WAFA.

Beliau yang berasal dari daerah Qasra, wilayah Nablus, Tebing Barat, patah tiga tulang rusuk akibat dipukul pengawal penjara hanya kerana enggan mencium dan mengibar bendera Israel.

Menurut Fouad, ada tahanan yang patah kaki dan cedera di tangan akibat digigit anjing.

"Semua hanya kerana keengganan kami cium dan pegang bendera (Israel) sambil gambar mereka dirakamkan," katanya.

Penyeksaan yang sungguh tidak berperikemanusiaan turut dikongsi keluarga Moaz Amarneh, wartawan Palestin yang hilang mata kiri akibat ditembak penembak tepat Israel semasa sedang membuat liputan pada tahun 2019.

Beliau ditangkap bersama sembilan rakyat Palestin lain dalam satu operasi runtin tentera Zionis di Bethlehem, Tebing Barat pada 16 Oktober lalu.

Beliau kini ditahan di penjara Megiddo.

Seorang ahli keluarga Moaz berkata peguam memaklumkan kepada mereka yang Moaz mengalami kecederaan teruk di kepala dan lebam seluruh badan.

Pihak pentadbiran penjara langsung tidak menghubungi mereka.

"Mereka sengaja memukul kepala Moaz. Mereka bukan tidak tahu kecederaannya tapi sengaja memukul kepalanya.

"Mereka juga enggan hantar dia ke hospital mahupun memberinya ubat bagi redakan kesakitannya.

"Peguam juga memberitahu, dia terpaksa tidur di atas lantai dalam bilik yang penuh sesak dengan tahanan lain," kata keluarganya.

Sebelum ini, pihak pentadbiran penjara juga telah menolak permohonan untuk membenarkan ubat-ubatan yang diperlukan Moaz dibawa masuk.

Menurut keterangan tahanan yang dibebaskan dan laporan pertubuhan hak asasi manusia, penindasan terhadap tahan rakyat Palestin semakin berleluasa sejak 7 Oktober lalu, menyebabkan beberapa kes tahanan maut dan lebih ramai yang ditahan.

Setakat ini, lima kematian tahanan Palestin di penjara Israel direkodkan termasuk Abd al-Rahman Mar'i, 22, dari Salfit, Omar Daraghmeh, 58, (dari Tubas), Arafat Hamdan, 25, (dari Ramallah) dan Majed Zaqoul, 32, (dari Gaza) dan seorang lagi identitinya masih belum didedahkan oleh Israel, lapor WAFA.

Sementara itu, seorang lagi bekas tahanan penjara Megiddo, Ali Saleh Hathnawi, berkata ada beberapa banduan yang berharap lebih baik mereka ditembak mati atau digantung daripada perlu melalui pelbagai seksaan setiap hari.

Pemuda dari Qabatiya, Jenin itu menceritakan tahap penyeksaan yang diterimanya amat dahsyat sehingga merasa mati adalah lebih baik.

Mereka sering dipukul di bahagian kepala dan anggota badan yang sensitif seolah sengaja mahu menyebabkan kecederaan kekal kepada tahanan.

"Sebelum dibebaskan, saya bertemu banduan yang patah tangan dan hidung. Saya juga melihat beberapa utas tali pinggang yang berlumuran darah di atas lantai.

"Ada juga beberapa banduan berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan akibat dipukul dengan tali pinggang di kepala.

"Belum termasuk provokasi lain seperti maki hamun, cacian, cercaan berulang kali, tidak diberi makan, barang-barang keperluan dan hak milik peribadi dimusnahkan…," katanya.

Beliau berkata tahanan dipaksa mencium bendera Israel, jika enggan mereka akan dipukul berkali-kali terutama di bahagian kepala dan selalunya akan dipijak oleh pengawal sebelum diambil gambar.

Yayasan Penjagaan Tahanan dan Hak Asasi Manusia Palestin "Addameer" mendedahkan bahawa pentadbiran penjara Israel memperlakukan tahanan Palestin dengan kasar dan tanpa perikemanusiaan termasuk memukul, mengurung dalam sel gelap, memotong bekalan elektrik dan air, menghalang lawatan peguam dan keluarga, memberi makanan yang sangat sedikit dan basi, serta menutup klinik di penjara.

"Pentadbiran penjara juga tidak membenarkan pesakit dipindahkan ke klinik dan hospital selain menghalang lawatan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah," menurut yayasan itu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin mendedahkan jumlah tahanan rakyat Palestin di kesemua penjara Israel melebihi 7,000 orang.

Tiada ulasan: