FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis Johor menumpaskan sindiket penyeludupan arak dan membongkar makmal dadah dengan rampasan RM10.15 juta susulan penahanan lima lelaki termasuk seorang bergelar Datuk, dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Pasir Puteh, kelmarin.
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata serbuan antara 11 pagi hingga 8 malam di sebuah kilang itu dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 Simpang Renggam.
Katanya, seorang lelaki tempatan dan dua lelaki berusia 26 hingga 46 tahun ditahan dalam serbuan pertama.
“Dalam operasi ini kita melakukan pemeriksaan ke atas 11 kontena dan menemukan 7,910 kotak mengandungi 189,840 tin arak tanpa cukai bernilai RM5,538,977.
“Modus operandi kegiatan ini adalah membawa arak tanpa cukai, kemudian disimpan dalam kontena sebelum dihantar berdasarkan pesanan diterima di Johor Bahru. Kegiatan ini telah aktif beroperasi sejak November 2022,” katanya pada sidang media di IPD Seri Alam, menurut Sinar Harian.
Katanya, polis kemudian menemukan sebuah makmal mini yang dijadikan tempat memproses dadah jenis ekstasi bersama sejumlah dadah dan peralatan memproses bahan itu.
“Susulan serbuan pertama, polis melancarkan dua lagi serbuan di Johor Bahru sebelum menahan dua lagi lelaki berusia 46 dan 54 tahun termasuk seorang daripadanya bergelar ‘Datuk’.
“‘Datuk’ berkenaan yang berusia 46 tahun merupakan seorang ahli perniagaan dan dipercayai merupakan dalang utama sindiket terbabit,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi kegiatan pengedaran dadah itu adalah menjadikan sebahagian kabin kontena di kawasan terbabit sebagai tempat pemprosesan dan simpanan dadah jenis ekstasi sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Kegiatan pengedaran dadah ini aktif beroperasi sejak Jun tahun ini. Dalam serbuan ini kita merampas satu tong mengandungi 22.84kg serbuk ekstasi bernilai RM1,676,823; 2,320 biji pil ekstasi seberat 696g (RM50,982) dan 10 tong serta tiga botol mengandungi 182.90 liter cecair kimia (RM70,416) dengan jumlah nilai rampasan dadah RM1,798,221,” katanya.
Menurutnya, polis turut merampas mesin dan peralatan memproses dadah selain menyita 10 kenderaan (RM2,587,000); pelbagai barang kemas (RM219,048) dan wang tunai pelbagai mata wang (RM235,397) dengan keseluruhan sitaan berjumlah RM3,041,445.
“Hasil saringan air kencing terhadap kelima-lima suspek terbabit mendapati negatif dadah dan semua mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Semua suspek direman selama empat hari bermula Isnin hingga 1 Dis dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967; Seksyen 6 (1)(2) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002); Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3(1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan