"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelik macam mana warga Pakistan mudah buka kedai

TINDAKAN menyita premis diusahakan warga asing menggunakan nama rakyat tempatan perlu dibuat sebelum keadaan menjadi sukar dikawal.
Oleh Meja Rencana

SAUDARA PENGARANG,

PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 23 November lalu menegaskan bahawa warga asing hanya dibenar berada dalam sektor peruncitan sebagai pekerja.

Mereka termasuk rakyat Pakistan tidak pernah diberikan lesen perniagaan untuk berniaga. Namun, situasi semasa terutama di Kota Bharu adalah sebaliknya.

Premis perniagaan diusahakan warga asing kini tidak terhad kepada warga Pakistan semata-mata.

Warga Bangladesh dan Myanmar turut membuka kedai runcit, kedai serbaneka serta syarikat kontraktor pembinaan dan pengubahsuaian rumah.

Kedai-kedai di Kota Bharu yang kebanyakan peniaga asal ialah kaum Cina semakin hari semakin berganti kepada warga asing.

Perniagaan ini mungkin didaftarkan atas nama pasangan warga asing terbabit sama seperti berlaku di Kuala Terengganu. Warga Pakistan sejak dahulu lagi agak tidak jelas status dokumen mereka.

Mereka bebas bergerak menjual kain dan sekarang mempunyai premis perniagaan tetap seperti kedai runcit dan kedai perabot di Pasir Puteh dan Gua Musang.

Warga asing tidak dibenarkan berniaga di negara ini apatah lagi jika masih memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Taktik yang digunakan adalah berkahwin dengan wanita tempatan supaya mereka dapat berniaga menggunakan nama isteri.

Sebelum ini, pernah tular dalam internet mengenai taktik yang digunakan lelaki Pakistan untuk memikat wanita Melayu.

Oleh itu, kerajaan negeri Kelantan melalui pihak berkuasa agama negeri diharap dapat mengadakan sesi libat urus bersama Jabatan Imigresen (JIM).

Ini bagi memastikan warga asing tidak begitu mudah dibenarkan berkahwin dengan rakyat tempatan semata-mata untuk berniaga dan memohon status taraf penduduk tetap (PR).

Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan pula perlu lebih kerap menjalankan operasi bersepadu bersama JIM dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memastikan warga asing yang bekerja di negeri ini tidak sewenang-wenangnya menjalankan perniagaan.

Selain mengelakkan masalah sosial dan kebersihan, langkah ini juga bagi memastikan warga asing tidak membentuk koloni penempatan dan perniagaan hingga menghilangkan identiti asal Kota Bharu. – UTUSAN

Tiada ulasan: