WAN SITI AMINAH
Seorang wanita dari Perlis berdepan dengan detik cemas apabila suaminya tiba-tiba naik berang selepas ditangkap berlaku curang di dalam rumah mereka sendiri.
Lelaki berkenaan juga tergamak mendatangkan kecederaan kepada isterinya dengan cara menyiku, menampar dan menumbuk sehingga wanita tersebut terjatuh di lantai.
Keterlaluan, anak lelaki mereka yang berusia 16 tahun turut menjadi mangsa apabila dicekik dan ditumbuk di dada ketika membuat cubaan untuk menyelamatkan ibunya.
Ketua Polis Daerah Arau, Perlis iaitu Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, insiden bermula apabila suspek membawa pulang seorang wanita ke kediamannya.
Isteri suspek yang baru sahaja tiba di rumah terkejut apabila melihat suaminya dalam keadaan kelam kabut menarik wanita itu ke dalam bilik air di dalam bilik tidur mereka.
Mangsa yang bengang dengan tindakan suaminya itu kemudian bertindak merakam kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit sebelum lelaki berkenaan naik berang.
Pergelutan melibatkan pasangan itu dipercayai berlaku apabila suspek berusaha untuk merampas telefon bimbit daripada genggaman isterinya, lapor Harian Metro.
“Berlaku pergelutan antara mereka. Suspek yang berang kemudian merampas dan membuang telefon bimbit ke lantai sehingga pecah sebelum menyiku atas bahu mangsa.
“(Suspek juga) menampar dan menumbuk bahagian muka mangsa sehingga terjatuh yang mengakibatkan bahu mangsa mengalami kesakitan manakala mukanya pula bengkak.
“Anak lelaki mangsa yang berusia 16 tahun cuba membantu mangsa namun suspek bertindak mencekik leher dan menumbuk dada dan bahagian mulut anaknya sehingga mengalami kecederaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Mangsa kemudian hadir ke balai polis membuat laporan sebelum beredar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis bersama anak lelakinya untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Ahmad Mohsin, hasil laporan awal perubatan oleh doktor yang bertugas mendapati mangsa mengalami kesan bengkak di bahagian pipi kiri dan bahu kiri.
Manakala remaja tidak bersalah yang turut menjadi mangsa dalam pergelutan itu pula mengalami kesakitan di bahagian kepala, tangan kanan, lutut kanan dan perut.
Ahmad Mohsin memaklumkan, siasatan awal mendapati kediaman teres setingkat terletak di Arau, Perlis yang diami pasangan itu adalah milik mendiang ibu suspek.
Suspek yang tidak bekerja kemudiannya ditahan oleh polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana telah mendatangkan kecederaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan