"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hubungan terlarang berakhir dengan hukuman mati

AFP
ZHANG Bo dan Ye Chengchen. FOTO Weibo
Beijing: China, semalam, melaksanakan hukuman mati sepasang kekasih atas sabitan mencampak dua kanak-kanak dari tingkap sebuah bangunan pangsapuri, empat tahun lalu.

Mahkamah Perantaraan Rakyat No. 5 Chongqing dalam satu kenyataan mengesahkan, Zhang Bo dan Ye Chengchen sebelum ini didapati bertanggungjawab terhadap insiden kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan kanak-kanak lelaki berusia satu tahun yang maut selepas jatuh dari tingkat 15 di menara kediamandi Chongqing, barat daya China.

Zhang, bapa kepada dua anak itu menjalin hubungan sulit dengan Ye, yang pada mulanya tidak menyedari lelaki itu sudah berkahwin dan mempunyai anak.

Wanita itu kemudian, menggesa Zhang membunuh dua anaknya, yang dilihatnya sebagai penghalang untuk mereka berkahwin dan beban kehidupan masa depan mereka bersama.

Pada November 2020, Zhang mencampak anak-anaknya keluar dari tingkap apartmen, tanpa pengetahuan isterinya yang mahu dia ceraikan.

China Daily tahun lalu melaporkan, kedua-duanya didapati bersalah bersubahat dalam membunuh dua kanak-kanak itu.

Pasangan itu dijatuhi hukuman mati pada Disember 2021, sebelum hukuman itu dilaksanakan semalam.

Berita hukuman mati mereka menjadi topik sohor di laman media sosial China, Weibo, sejak semalam, serta meraih hampir 200 juta tontonan.

Pada masa sama, satu lagi hukuman mati berprofil tinggi dilakukan semalam.

Wu Xieyu, yang didapati bersalah membunuh ibunya dengan berulang kali memukulnya dengan dumbel pada 2015, kata satu kenyataan mahkamah di wilayah timur Fujian.

China merahsiakan data mengenai penggunaan hukuman mati, walaupun kumpulan hak asasi manusia Amnesty International menganggarkan, ribuan orang di negara itu dijatuhi hukuman mati setiap tahun.

Lazimnya, hukuman mati sering dijatuhkan bagi jenayah seperti pengedaran dadah, rasuah dan pembunuhan dan dilaksanakan menerusi kaedah suntikan maut.

Tiada ulasan: