"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rumah tangga disangka goyah, sekali Siti Nurhaliza tepis gosip dengan kata-kata ini

WAN SITI AMINAH

Tiada angin tiada ribut, penyanyi kesayangan Malaysia iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza tiba-tiba dihimpit dengan kontroversi mengenai isu kegoyahan rumah tangganya.

Sempat menimbulkan kekecohan, penyanyi berusia 45 tahun itu tampil menjernihkan semula keadaan dan menjelaskan persoalan mengenai hubungannya dengan suami.

Menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya, Siti Nurhaliza memuat naik foto bersama suami iaitu Datuk Seri Khalid Jiwa atau Datuk K bersama dua anak mereka.

Foto tersebut difahamkan telah diambil ketika mereka sekeluarga menyambut hari ulang tahun Siti ke-45 yang berlangsung meriah di sebuah hotel mewah di ibu kota.

Dalam ruangan kapsyen foto terbabit, penyanyi yang mesra disapa Tokti itu meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi berdasarkan hantarannya di Instastory.

Siti menerusi penulisan ringkasnya itu tampil menegur sambil berseloroh, “Suka gosip tau. Tak baik fikir bukan-bukan”.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengikut menarik nafas lega apabila penyanyi nombor satu negara itu terlihat gembira bersama suami dan anak-anaknya.

Ramai juga pengguna media sosial membanjiri ruangan komen gambar tersebut mendoakan agar rumah tangga pasangan usahawan itu dikurniakan dengan kebahagiaan.

Terdahulu, desas-desus mengenai isu kegoyahan rumah tangga Siti Nurhaliza mula timbul selepas penyanyi itu membuat beberapa perkongsian di Instastory miliknya.

Menyiarkan semula hantaran mengenai ujian terbesar isteri, ibu kepada dua anak itu turut berkongsi enam alasan mengapa seorang suami tidak boleh membentak isteri.

Perkongsian inilah yang membuatkan ramai pengguna media sosial mula membuat andaian bahawa rumah tangga penyanyi kelahiran Pahang itu sedang bermasalah.

Walau bagaimanapun, tinjauan mendapati perkongsian tersebut segera dipadamkan oleh Siti sejurus selepas ia mula ditularkan semula di pelbagai platform media sosial.

Sekadar info, Siti menamatkan zaman bujangnya bersama Datuk K pada 21 Ogos 2006 lalu dan dikurniakan dengan dua cahaya mata iaitu Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa.

Tiada ulasan: