"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganut Hindu India mula ibadat di masjid yang dipertikaikan selepas perintah mahkamah

Bharianonline
Anggota polis berkawal ketika penganut Islam tiba untuk menunaikan solat Jumaat di masjid Gyanvapi di Varanasi pada 20 Mei 2022. - Foto AFP
Anggota polis berkawal ketika penganut Islam tiba untuk menunaikan solat Jumaat di masjid Gyanvapi di Varanasi pada 20 Mei 2022. - Foto AFP
VARANASI: Penganut Hindu hari ini mula beribadat di dalam sebuah masjid yang dipertikaikan di bandar Varanasi, India hanya beberapa jam selepas perintah mahkamah membenarkan mereka di tapak yang sangat sensitif itu, lapor media.

Masjid Gyanvapi di bandar suci Varanasi adalah salah satu daripada beberapa rumah ibadat Islam yang dicari oleh aktivis Hindu, yang disokong oleh parti Perdana Menteri Narendra Modi, selama beberapa dekad untuk menuntutnya semula.

Semalam, Mahkamah Varanasi memutuskan penganut Hindu boleh beribadat di ruang bawah tanah bangunan itu dan mengarahkan pihak berkuasa untuk 'membuat pengaturan sewajarnya' untuk penganut dalam tempoh seminggu.

Sementara itu, stesen penyiar NDTV melaporkan, ahli keluarga sami Hindu mula beribadat di ruang bawah tanah masjid pada awal pagi ini.

Masjid Gyanvapi dibina pada abad ke-17 ketika empayar Moghul Muslim di sebuah bandar di mana penganut Hindu dari seluruh negara membakar mayat keluarganya di tepi sungai Ganges.

Penganut Hindu percaya masjid itu dibina di atas kuil kepada dewa Hindu Shiva.

Bulan lalu, agensi arkeologi rasmi India, memaklumkan tinjauan tapak itu tambah menguatkan kepercayaan bahawa ia pada asalnya adalah rumah kepada sebuah kuil, menurut laporan berita tempatan.

Kumpulan Hindu sayap kanan yang berkuasa menuntut beberapa tapak masjid yang dikatakan mereka dibina di atas kuil purba semasa pemerintahan Moghul.

Minggu lalu, Modi mengetuai upacara perasmian besar-besaran di bandar Ayodhya berdekatan untuk sebuah kuil Hindu yang dibina di atas perkarangan yang pernah menjadi tapak kepada masjid Babri yang berusia berabad-abad.

Penganut agama Hindu merobohkan masjid itu pada 1992 dalam kempen yang diterajui oleh ahli parti Modi, mencetuskan rusuhan mazhab yang membunuh 2,000 orang di seluruh negara, kebanyakannya beragama Islam.

Pertikaian mahkamah selama beberapa dekad yang berlaku mengenai masa depan tapak Babri berakhir pada 2019 apabila mahkamah tertinggi India membenarkan pembinaan kuil kepada dewa Ram, yang menurut kitab suci Hindu dilahirkan di bandar itu.

Gesaan agar India mengekalkan ketuanan Hindu semakin kuat sejak Modi memegang jawatan pada 2014, menjadikan minoriti Islam yang berjumlah kira-kira 210 juta orang semakin bimbang mengenai masa depan mereka. - AFP

Tiada ulasan: