"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mayat mereput dengan mata ditutup, tangan bergari dalam beg plastik

Agensi
TANGKAP layar video sebahagian jasad tahanan rakyat Palestin ditemui di utara Gaza. FOTO agensi
TANGKAP layar video sebahagian jasad tahanan rakyat Palestin ditemui di utara Gaza. FOTO agensi
Baitulmaqdis: Sekurang-kurangnya 30 jasad dalam keadaan mereput, ditutup mata dan digari ditemui berhampiran sekolah Hamad di utara Gaza, Palestin.

Saksi memberitahu Al Jazeera, jasad berkenaan ditutup matanya, diseksa dan dibunuh sebelum dimasukkan dalam beg plastik hitam.

"Ketika kami sedang membersihkan kawasan itu, kami terserempak dengan timbunan runtuhan di halaman sekolah.

"Kami terkejut apabila mengetahui puluhan mayat tertimbus di bawah timbunan ini.

"Sebaik kami membuka beg plastik hitam, kami tengok mayat sudah reput dengan mata ditutup manakala kaki dan tangan diikat," katanya.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Palestin berkata, penemuan kubur besar itu menunjukkan tentera Israel membunuh orang awam dengan gaya hukuman mati.

Katanya, mereka menuntut siasatan antarabangsa berhubung pembunuhan beramai-ramai Israel.

"Datang ke Gaza tengok kebenaran pembunuhan beramai-ramai yang terdedah kepada rakyat kami.

"Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tentera penceroboh terhadap rakyat kami di Semenanjung Gaza tanpa akauntabiliti atau pengawasan," kata kementerian itu.

Dalam pada itu, kumpulan pejuang Hamas berkata, pertubuhan hak asasi manusia harus mendokumentasikan penemuan kubur besar-besaran itu.

"Jenayah kejam ini dan perkara lain yang dilakukan neo-Nazi terhadap rakyat Palestin akan kekal sebagai sumpahan yang menghantui mereka dan hari akan tiba apabila mereka dipertanggungjawabkan atas kekejaman dan jenayah yang melebihi pelanggaran paling mengerikan dalam era moden kita," kata Hamas dalam satu kenyataan di Telegram.

Peguam hak asasi manusia Palestin, Diana Buttu memberitahu Al Jazeera, insiden ini kebenaran mengapa Israel diheret ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Katanya, penemuan kubur besar itu perlu disiasat segera kerana jelas jenayah perang.

Bulan lalu, pegawai hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ajith Sunghay menggesa penganiayaan Israel terhadap tahanan Palestin dihentikan.

Katanya, beliau sendiri bertemu dengan lelaki yang ditahan selama berminggu-minggu dan dipukul serta ditutup matanya.

Tahanan Palestin biasanya didera dan dipukul tentera Israel serta dipenjarakan selama berminggu-minggu di lokasi yang tidak diketahui.

Beberapa video dikongsi tentera Israel sejak perang bermula menunjukkan, ratusan lelaki Palestin dilucutkan seluar dalam mereka, duduk di luar dalam kesejukan serta ditutup matanya.

Dalam beberapa video, wanita dan kanak-kanak turut kelihatan dalam kumpulan tahanan itu.

Tiada ulasan: