"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KJ pernah terkejut lihat sikap PAS terhadap konsert

Malaysiakini

Bekas menteri, Khairy Jamaluddin, dilaporkan pernah terkejut melihat sikap PAS berhadapan dengan isu konsert hiburan semsa parti itu berada dalam kerajaan,

Kata Khairy, semasa isu berkenaan diperkatakan orang ramai salah seorang menteri dari PAS, Idris Ahmad, hanya memperkatakan hal konsert sekali saja.

Itu pun, katanya, naib presiden parti terbabit hanya meminta konsert dikurangkan.

“Dia (Idris) cakap, kalau boleh kurangkan sikit konsert boleh tak?

“Saya terfikir: Wow! Saya menjangkakan dia akan kata tiada konsert lagi atau sesuatu yang seperti itu!” katanya dipetik portal berita FMT hari ini.

Khairy yang juga bekas ketua Pemuda Umno berkata sedemikian semasa menjadi panel forum Politics 101: Politics, Policies & Personal Journeys with Khairy Jamaluddin di Kuala Lumpur malam tadi.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan bila Idris berkata sedemikian kerana selepas PH ditumbangkan pada Feb 2020, Khairy diberi tanggungjawab menjaga dua kementerian.

Bermula sebagai menteri sains, teknologi dan inovasi ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri, dia kemudian diberi amanah menjadi peneraju kementerian kesihatan apabila presiden Bersatu itu digantikan oleh Ismail Sabri Yaakob.

Dalam kedua-dua kerajaan berkenaan, Idris kekal sebagai menteri bagi hal ehwal agama.

Selain Idris, turut menganggotai kabinet ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata demikan selepas disoal mengenai hubungan kerjanya dengan PAS semasa bersama-sama berada dalam kerajaan.

Isu konsert sekali lagi menjadi perhatian apabila penyanyi British, Ed Sheeran, dijadual mengadakan persembahan di Kuala Lumpur pada 24 Feb ini.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberi jaminan konsert bintang pop itu akan berjalan seperti yang dijadualkan walaupun ada mufti berharap ia dibatalkan.

Menerima baik cadangan dibuat Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor itu, Fahmi berkata, sebanyak 16 agensi terbabit dalam perbincangan sebelum memutuskan sesuatu persembahan artis luar dibenarkan atau tidak.

“Sudah pasti saringan teliti dibuat oleh semua agensi ini, jadi saya mohon supaya proses sedia ada ini (diikuti), kita ambil maklum pandangan (pihak lain) tapi kita ada prosesnya,” kata Fahmi.

Sebelum ini PAS turut menyatakan bantahan terhadap penganjuran konsert membabitkan artis Barat, sama ada semasa mereka menjadi kerajaan atau kembali menjadi pembangkang selepas PRU ke-15 lalu.

Tiada ulasan: