"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Israel mula banjiri terowong Hamas dengan air laut

AFP
SALAH satu terowong yang didakwa digunakan Hamas di Gaza. FOTO AFP
SALAH satu terowong yang didakwa digunakan Hamas di Gaza. FOTO AFP
Gaza: Tentera Israel pada Selasa berkata, ia membanjiri terowong Hamas di tengah-tengah pertempuran sengit di Gaza, walaupun pengantara antarabangsa mendesak penghentian baharu dalam perang hampir empat bulan itu.

Pusat pertempuran kini adalah Khan Younis, bandar utama selatan Gaza di mana kawasan yang luas berubah menjadi tanah terbiar berlumpur dengan bangunan yang dibom.

Tentera Israel berkata, ia menggunakan taktik menyalurkan air ke dalam rangkaian terowong bawah tanah Hamas yang luas yang digelar sebagai "metro Gaza".

"Ia sebahagian daripada pelbagai alat yang digunakan oleh IDF (tentera Israel) untuk meneutralkan ancaman rangkaian terowong bawah tanah Hamas," katanya.

Pada permulaan perang Israel-Hamas pada Oktober, terdapat 1,300 terowong sepanjang 500 kilometer di Gaza, menurut kajian dari akademi tentera Amerika Syarikat, West Point.

Tentera Israel berikrar untuk memusnahkan terowong itu susulan serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Kira-kira 250 tebusan warga asing dan Israel turut diseret ke Gaza semasa serangan itu. Kira-kira 132 tebusan masih ditahan di Gaza, termasuk 28 orang yang dipercayai terbunuh.

Sejak serangan Hamas, Israel melancarkan serangan udara, darat dan laut di Gaza yang membunuh sekurang-kurangnya 26,751 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di wilayah itu.

Tentera berkata, ramai tebusan yang diambil oleh Hamas sudah atau terus ditahan dalam rangkaian terowong yang luas.

Pada bulan Disember, beberapa media Israel berkata, tentera cenderung untuk membanjiri terowong dengan air laut yang dipam dari Laut Mediterranean, tetapi pakar memberi amaran ia berbahaya dan menimbulkan risiko besar kepada orang awam.

Pada Selasa, tentera berkata, ia berhati-hati untuk tidak "merosakkan air bawah tanah kawasan itu."

Di Khan Younis, tentera Israel berkata, tenteranya yang bertempur di blok bandar dan terowong.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin menuduh Israel "menembak peluru hidup dan bom tangan asap" ke arah orang yang dipindahkan dan kakitangannya, dari kereta kebal, di Hospital Al-Amal di Khan Younis. Tentera Israel menafikan dakwaan itu.

Dalam usaha terbaharu untuk menjadi perantara gencatan senjata baharu, satu pertemuan di Paris pada Ahad lalu dihadiri pegawai tertinggi AS, Israel, Mesir dan Qatar, yang merangka pelan untuk usaha itu.

Hamas pada Selasa berkata, ia menerima cadangan itu dan berkata dalam akaun Telegramnya bahawa ia "dalam proses menelitinya dan menyampaikan responsnya."

Tiada ulasan: