"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mangsa kemalangan akibat merempuh jalan berlubang dapat ganti rugi RM721 ribu

Malaysiakini 

Seorang lelaki menerima bayaran ganti rugi sebanyak RM721 ribu daripada sebuah syarikat penyelenggara jalan akibat kecederaan selepas merempuh jalan berlubang yang tidak diselenggara di Pasir Gudang, tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Sazlina Safie membuat keputusan itu selepas mangsa, Razali @ Mohd Leey Subeh berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd yang dilantik kerajaan negeri untuk menyelenggara jalan berkenaan.

Razali terlanggar jalan berlubang berhampiran Taman Kota Masai ketika dalam perjalanan dari Taman Cendana ke taman perumahan tersebut kira-kira jam 10 malam, 11 Februari 2021.

Kejadian tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan kerosakan motosikalnya.

Plaintif (mangsa) memfailkan saman terhadap syarikat berkenaan dan kerajaan negeri sebagai responden pertama dan kedua namun menarik balik saman terhadap responden kedua pada 16 Mei 2022.

Sazlina memutuskan plaintif berjaya membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian dan syarikat itu cuai sepenuhnya dalam kemalangan ini.

"Mahkamah boleh membuat kesimpulan bahawa dari tarikh kejadian (11 Feb 2021) sehingga kerja-kerja penggalian pada 29 September 2022, lubang itu kekal di tempat kejadian tanpa sebarang pembaikan, seperti yang diakui oleh semua saksi.

"Mahkamah mendapati isu jalan berlubang di tempat kejadian telah dibuktikan dan diakui oleh defendan.

"Syarikat itu juga mengemukakan kenyataan bercanggah dalam pembelaan mereka apabila pada mulanya mendakwa bahawa mereka tidak melihat sebarang jalan berlubang, tetapi kemudian menemui jalan berlubang yang disebabkan oleh kerja-kerja kemudahan awam," katanya dalam alasan penghakiman yang disiarkan di laman web kehakiman semalam.

Pada masa sama, mahkamah mempercayai jarak penglihatan yang terhad dan pencahayaan yang tidak mencukupi menyebabkan mangsa mengalami kemalangan di kawasan tersebut.

Syarikat tersebut didakwa gagal menjalankan tugas untuk menyelenggara jalan berkenaan dan bertanggungjawab kepada plaintif di bawah Seksyen 7(3) Akta Prosiding Kerajaan 1956 (GPA).

Plaintif mendapat RM352,947.33 sebagai ganti rugi khas dan RM368 ribu sebagai ganti rugi am.

Tiada ulasan: