"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perdagang dua wanita warga asing, suami isteri didakwa

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

Seremban: Suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga asing bagi tujuan eksploitasi kerja, tahun lalu.

Tertuduh, S Kumaraguru, 33, dan isterinya T Agatishwari, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh secara bersama dengan niat memperdagangkan wanita warga Myanmar berusia 41 tahun dan wanita warga India berusia 21 tahun bagi maksud eksploitasi kerja.

Perbuatan itu dilakukan antara Julai hingga Oktober lalu di sebuah rumah beralamat di Taman Bayu Indera Lukut, Port Dickson.

Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi, manakala tertuduh diwakili Peguam Hasvinder Singh Gill.

Mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 terhadap setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan yang dihadapi.

Surita turut menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi.

Sebutan semula pada 30 Mei depan.

Tiada ulasan: