"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganalisis: PAS tak ghairah sebab kecewa dinafi tanding KKB

Mohamad Fadli

Azmi Hassan berkata PAS mungkin mahu bertanding PRK itu dan keputusan PN meletakkan calon Bersatu menyebabkan ahli parti yang turun berkempen agak minimum.

Kelmarin, Ilham Centre berkata kajiannya di lapangan mendapati PAS yang sering menjadi jentera dan tulang belakang PN dilihat tidak ghairah berkempen di Kuala Kubu Baharu.
PETALING JAYA: Kecewa tidak dibenarkan meletak calon mungkin punca PAS dilihat tidak ghairah berkempen untuk Perikatan Nasional (PN) di PRK Kuala Kubu Baharu, kata penganalisis politik.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, PAS mungkin mahu bertanding DUN itu dan keputusan PN meletakkan calon daripada Bersatu menyebabkan pemimpin serta ahli parti tersebut yang turun berkempen di Kuala Kubu Baharu agak minimum.

“Kalau lihat jentera PAS paling efisien berbanding Bersatu dan Gerakan. Tetapi mereka tak turun bantu calon Bersatu kali ini,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, badan pemikir Ilham Centre berkata kajiannya di lapangan mendapati PAS yang sering menjadi jentera dan tulang belakang PN dilihat tidak ghairah berkempen.

“Kali ini tidak nampak kelibat jentera PAS dari negeri lain selain Selangor berkubu di setiap pusat daerah mengundi (PDM).

“Penyertaan PAS Selangor juga tidak agresif, menyumbang kepada suasana sebegini rupa,” katanya yang turut membangkitkan prestasi ‘muram’ tiga wakil rakyat PN iaitu bagi Parlimen Hulu Selangor, DUN Hulu Bernam dan Batang Kali.

Bagaimanapun, ia disanggah Naib Presiden PAS, Mohamad Amar Abdullah, yang berkata jentera parti itu dikerah dari seluruh negara, menggunakan strategi berbeza dengan memberi fokus kepada kempen rumah ke rumah berbanding ceramah kelompok.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang senada dengan Azmi berkata, jika diberi peluang bertanding di Kuala Kubu Baharu PAS dilihat lebih berkesan berbanding sekutunya Bersatu.

Bilcher mendakwa, PAS berpandangan kawasan pengundi Cina lebih memberi peluang kepada calon Pakatan Harapan (PH), justeru parti itu tidak mahu membuang masa turun berkempen.

“Calon PN dan Parti Rakyat Malaysia sekadar untuk kurang majoriti calon PH. PAS lebih cekap dan faham situasi itu, (yang dilihat) buang masa dan wang,” katanya.

Beliau berkata, kesan daripada pemilihan calon Bersatu menyebabkan ahli PAS tidak turun mengundi dan memberi kelebihan kepada gabungan PH-Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan.

PH kekal di Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 3,869 undi dalam pertandingan empat penjuru pada PRK semalam.

Calonnya daripada DAP Pang Sock Tao memperoleh 14,000 undi, menewaskan PN diwakili Khairul Azhari Saut yang mendapat 10,131 undi.

Manakala Parti Rakyat Malaysia (PRM) diwakili Hafizah Zainuddin serta calon bebas Nyau Ke Xin masing-masing mendapat 152 dan 188 undi.

Tiada ulasan: