"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sukar Muhyiddin, Hadi berundur selepas PN kalah

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, sukar untuk Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang melepaskan jawatan susulan kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Ini kerana, kata Noor Nirwandy Mat Noordin dari Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara, setiap parti memerlukan pemimpin berpengaruh.

“Politik Malaysia masih dominan dengan imej parti gergasi dan pemimpin ‘heavyweight’.

“Jadi, sukar untuk mana-mana pimpinan politik melepaskan jawatan kerana asas parti gergasi berdasarkan hierarki dan sokongan akar umbi,” katanya kepada FMT.

Muhyiddin ialah presiden Bersatu yang juga pengerusi PN, manakala Hadi ialah timbalannya serta presiden PAS.

Semalam, bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim menasihatkan Muhyiddin dan Hadi yang kini berumur 76 tahun memberi laluan kepada pemimpin muda dengan idea baharu.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) menang besar kerana PN tiada apa hendak ditawarkan kepada pengundi lagi. Beliau memberi contoh Muhyiddin kerap bercakap tentang pencapaiannya ketika menjadi perdana menteri, sementara taktik menakut-nakutkan Hadi tidak lagi terpakai.

PRK Kuala Kubu Baharu dimenangi calon PH, Pang Sock Tao dengan majoriti 3,869 undi, selepas menewaskan calon PN, Khairul Azhari Saut yang meraih 10,131 undi, calon bebas, Nyau Ke Xin (188 undi) dan Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (152 undi).

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Muhyiddin dilihat tiada lagi semangat atau visi, justeru tiba masanya beliau digantikan pemimpin lain yang boleh memberi “nafas baharu” kepada Bersatu.

Katanya, parti itu mempunyai ramai pemimpin pelapis seperti Hamzah Zainudin, Azmin Ali, Radzi Jidin dan Ahmad Faizal Azumu yang boleh menggantikan Muhyiddin.

Bagi PAS pula, beliau tidak pelik jika Hadi terus memimpin parti itu yang bergantung kepada kekuatan akar umbinya.

“Misi dan visi pemimpin PAS tak banyak bezanya dengan Hadi kerana itulah kepimpinan PAS dari dulu.”

Tiada ulasan: