Elill Easwaran
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, PAS cuba menunjukkan ia patut menerajui Perikatan Nasional (PN) ketika pengaruh Bersatu dianggap merosot.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, kekalahan PN dalam PRK Kuala Kubu Baharu minggu lalu membuktikan Bersatu semakin lemah “hari demi hari”.
PN mempertaruhkan Khairul Azhari Saut daripada Bersatu pada PRK 11 Mei lalu yang tewas kepada calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao dengan majoriti 3,869 undi.
“PAS menunjukkan cita-cita kepimpinan mereka dalam PN dengan menegaskan tiada rundingan rasmi untuk menamakan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri bagi PN,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata, PAS berhak memimpin gabungan itu berdasarkan jumlah wakilnya yang lebih ramai di Parlimen.
“Muhyiddin nampaknya juga hilang visi dan misinya. Kurang (kepimpinan) seperti ini akan menyebabkan PN tumbang dan seterusnya PAS.”
Minggu lalu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, PN belum memutuskan calon perdana menterinya bagi PRU16.
Katanya, soal sama ada Muhyiddin kekal calon PN belum dibincangkan dan setiap parti komponen dalam gabungan itu perlu mengemukakan calonnya.
Ketua Penerangan PN, Azmin Ali sebelum itu mendakwa gabungan berkenaan hanya mempertimbangkan Muhyiddin sebagai calonnya.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, beliau tidak nampak sebarang ketegangan antara PAS dan Bersatu, tetapi kedua-dua parti itu dilihat bergelut dengan cabaran tersendiri ketika ini.
“Di kedua-dua pihak, wujud (masalah),” katanya memetik siasatan dan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas beberapa pemimpin pembangkang antara cabaran dihadapi mereka.
Beliau berkata, wakil rakyat pembangkang turut bergelut dengan masalah kekurangan dana untuk kawasan masing-masing. Jika masalah itu tidak diselesaikan, ia boleh membawa kepada isu lebih besar buat PN kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan