"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Undi anak muda PN boleh ‘kalih’ jika PH agresif di media sosial

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Gelombang besar-besaran peralihan sokongan anak muda kepada Perikatan Nasional (PN) ketika ini boleh berubah kepada Pakatan Harapan (PH) jika kerajaan mendekati golongan terbabit dengan efektif menerusi media sosial, kata sebuah NGO.

Pengarah Advokasi dan Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai, berkata PH perlu memperbaiki naratif untuk anak muda, dengan ‘menangkap imaginasi’ mereka menerusi media baharu, merujuk sikap kumpulan itu yang mempunyai tahap kesetiaan politik rendah.

“Anak muda Melayu lebih suka kepada PN…itu memang tidak dapat dinafikan tetapi trend ini bukan sesuatu yang ‘ditentukan’ untuk selama-lamanya…tidak.

“Sokongan anak muda akan berubah juga kerana mereka mempunyai kesetiaan politik yang rendah,” katanya kepada FMT mengulas pola pengundian PRK Kuala Kubu Baharu membabitkan pemilih berusia bawah 40 tahun yang memihak kepada PN (65%) berbanding PH (39%).

“Katakan beberapa bulan atau beberapa tahun ini kerajaan Madani menunjukkan tadbir urus yang baik dan komunikasi dua hala berkesan, besar kemungkinan mereka boleh berubah arah untuk menyokong PH.”

Mengambil contoh situasi semasa PRU15, Tharma berkata PN berada pada kedudukan tercorot dalam kajian lapangan dibuat enam bulan sebelum pilihan raya itu, namun popularitinya melonjak dengan bantuan media baharu seperti TikTok.

“Kenapa PN tiba-tiba melonjak? Kerana (bagi anak muda) ia bukan isu agama atau ideologi konservatif yang dibawa PN tetapi naratif pemimpin manakah yang terbaik, diuar-uarkan di TikTok.

“Laskar siber mereka menunjukkan tiga pemimpin utama iaitu Zahid Hamidi (pengerusi BN), Anwar Ibrahim (pengerusi PH) dan Muhyiddin Yassin (pengerusi PN), dan hasilnya menunjukkan Muhyiddin menjadi tokoh paling diminati anak muda kerana gaya kepimpinannya,” katanya.

Bagaimanapun, Tharma berkata PN tidak boleh mendabik dada dengan populariti ‘undi muda’ yang dikecapinya kerana ia lebih kepada faktor demografi kaum, berbanding faktor lain.

“Selepas penguatkuasaan Undi18, peratusan pengundi Melayu naik dari 36% kepada 45% manakala undi bukan Melayu merosot dari 45% kepada 35%,” katanya.

Institut Darul Ehsan (IDE) semalam merumuskan, kejayaan PH mempertahankan kerusi Kuala Kubu Baharu disebabkan sokongan pengundi bagi kategori umur 41 tahun ke atas terhadap kerajaan Madani.

Namun, katanya PN masih menjadi pilihan pengundi muda kategori 40 tahun ke bawah, dengan memperoleh 65% undi daripada mereka walaupun peratusan keluar mengundi golongan itu hanya sekitar 57%.

Tiada ulasan: