"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Disyaki seleweng RM8 juta dalam akaun amanah, 2 firma guaman disiasat

Faisal Asyraf

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat dua firma guaman disyaki menyeleweng RM8 juta yang pada asalnya dimasukkan ke akaun amanah mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Yoosuf berkata, kes pertama membabitkan seorang pengarah syarikat 63 tahun yang melantik sebuah firma guaman gagal memulangkan yuran guaman berjumlah RM3.2 juta.

Mangsa memfailkan laporan terhadap peguam bergelar “Datuk” itu pada Rabu lalu.

Mangsa melantik firma guaman itu Julai tahun lalu untuk memulakan saman sivil terhadap sebuah bank kerana menaikkan kadar faedah pinjaman bagi syarikatnya. Beliau bersetuju membayar firma itu yuran guaman sebanyak RM3.7 juta.

“Tetapi, Februari lalu, pengadu mengarahkan peguamnya menarik balik saman itu kerana isu terbabit diselesaikan secara baik antara bank dan syarikat berkenaan,” katanya dalam sidang media.

“Firma guaman itu mengenakan bayaran RM500,000 bagi perkhidmatannya dan bersetuju memulangkan baki RM3.2 juta kepadanya, tetapi sehingga kini beliau belum menerima bayaran balik itu.”

Dalam kes kedua, Ramli berkata, seorang pengarah syarikat 53 tahun kerugian RM4.8 juta kepada sebuah firma guaman selepas dana itu yang didepositkan untuk pembelian tanah di Plentong, Johor pada Jun 2018, didakwa hilang daripada akaun amanah firma itu.

Perjanjian tanah itu gagal dan bertukar menjadi prosiding mahkamah, dengan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari lalu memutuskan dana itu hilang daripada akaun firma guaman terbabit.

Katanya, mahkamah mendapati semua wang itu dikeluarkan firma itu melalui 100 keping cek dan draf bank.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Ramli mengulangi cadangannya kepada Majlis Peguam supaya akaun amanah firma guaman dijadikan akaun bersama di bawah anak guam dan firma itu, bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Tiada ulasan: