"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wartawan China membongkar kes COVID-19 bebas selepas 4 tahun dipenjara

BHarianonline 
Peguam, Zhang Keke, tiba di Mahkamah Rakyat Kawasan Shanghai Pudong sebelum perbicaraan wartawan warga China, Zhang Zhan, yang melaporkan dari Wuhan semasa kemuncak wabak koronavirus (COVID-19), di Shanghai, China. - Foto REUTERS
Peguam, Zhang Keke, tiba di Mahkamah Rakyat Kawasan Shanghai Pudong sebelum perbicaraan wartawan warga China, Zhang Zhan, yang melaporkan dari Wuhan semasa kemuncak wabak koronavirus (COVID-19), di Shanghai, China. - Foto REUTERS
BEIJING: Pihak berkuasa di China dijangka membebaskan seorang wartawan warga China yang dipenjarakan selama empat tahun kerana melaporkan fasa awal wabak COVID-19 dari pusat bandar Wuhan pada 2020.

Zhang Zhan, 40, yang ditugaskan ke Wuhan pada awal 2020 dari Shanghai, menyiarkan laporan mengenai hospital yang sesak dan jalan-jalan lengang, sekali gus memberikan gambaran lebih mengerikan mengenai wabak itu, berbanding saluran rasmi.

Selepas beberapa bulan membuat laporan termasuk siaran video, dia ditahan pada Mei 2020.

Menerusi dokumen mahkamah yang dilihat Reuters akhir Jun lalu, dia melancarkan mogok lapar sehingga mendorong polis untuk mengikat tangannya dan memberinya makan secara paksa melalui tiub.

Pada Disember 2020, dia disabitkan oleh mahkamah Shanghai kerana 'memilih untuk bertengkar dan mencetuskan masalah' serta dijatuhi hukuman penjara empat tahun.

Menurut aktivis hak asasi manusia, Zhang dibebaskan semalam.

Salah seorang peguamnya, Zhang Keke, bagaimanapun memberitahu Reuters bahawa setakat ini tiada pengesahan sama ada dia dibebaskan atau tidak.

"Saudara mara dan keluarga Zhang Zhan masih belum memberi maklum balas kepada saya," katanya.

Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, memberitahu pemberita, dia juga tidak mempunyai 'maklumat berkaitan' mengenai perkara itu.

Jane Wang, peguam bela yang berpangkalan di UK untuk pembebasan Zhang Zhan berkata, keluarga Zhang diletakkan di bawah tekanan tinggi oleh pihak berkuasa dan diberi amaran untuk tidak berhubungan dengan media.

"Adalah tidak boleh diterima sama sekali jika kerajaan China menyasarkan ramai pembela hak asasi manusia dan keluarga mereka menggunakan kekejaman seperti ini.

"Walaupun selepas dibebaskan dari penjara, mereka masih dirampas hak asasi mereka," kata Wang kepada Reuters.

Kata kumpulan hak asasi manusia, kesihatan Zhang Zhan merosot secara serius dalam penjara dan dia dimasukkan ke hospital penjara pada pertengahan 2023.

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) juga mengecam perkara itu dan menyifatkan tuduhan terhadap Zhang sebagai 'pendakwaan palsu' dan berulang kali meminta dia dibebaskan.

Zhang dipuji sebagai wira oleh ramai penduduk China kerana berani mendedahkan krisis COVID-19 itu ketika kerajaan cuba menutupnya, malah laporan beliau turut menarik perhatian antarabangsa apabila virus itu merebak pantas ke seluruh dunia berpunca dari Wuhan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa China didakwa bertindak terlalu tegas lagi kasar bagi menangani Zhang dan pengkritik lain mengenai dasar COVID-19.

Menurut laporan media, seorang lagi pemberi maklumat COVID-19, Fang Bin, dipenjarakan selama tiga tahun sebelum dilaporkan dibebaskan tahun lalu.

"Walaupun orang yang baru dibebaskan secara amnya berada di bawah pengawasan ketat dan proses ini lebih menyakitkan daripada di penjara, saya masih berharap dia (Zhang) boleh mendapat kebebasan yang sepatutnya," tulis salah seorang penyokongnya di platform X. - REUTERS

Tiada ulasan: