Agensi
TANGKAP layar daripada rakaman CCTV menunjukkan insiden berkenaan.
Hanoi: Seorang guru tadika di Vietnam mencetuskan kemarahan ramai selepas dia duduk di atas seorang budak lelaki berusia lima tahun, bagi memaksanya makan oren, lapor South China Morning Post (SCMP).
Kelakuan guru itu, Lam Thi Bach Nga, yang juga pemilik Tadika Ti Bo di Ho Chi Minh City, dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) pada 11 April lalu.
Dia kelihatan memukul budak lelaki itu sebelum memaksanya makan buah itu dengan menolak kanak-kanak berkenaan ke lantai sebelum duduk di atasnya.
"Melihat anak saya ditekan dan dipukul, saya berasa sangat sedih. Saya menggeletar seluruh badan apabila melihat klip video itu," kata ibu kanak-kanak itu, Thanh Hong.
Dia berkata, kesihatan fizikal anaknya kini stabil, tetapi dia masih resah dan tidak tenang.
"Dia sering menangis dalam tidurnya.
"Pihak pengurusan tadika pernah memastikan kami guru di sini tidak pernah memukul kanak-kanak. Saya tidak pernah menyangka anak saya akan didera oleh gurunya," katanya lagi.
Ibu kanak-kanak itu berkata, anaknya akan tinggal di rumah sehingga dia berasa lebih baik dan boleh kembali ke sekolah.
Selain itu, video itu juga menunjukkan guru menolak seorang lagi budak lelaki ke sudut kelas.
Dia menampar mukanya dan memukul kepalanya dengan objek plastik, bagi tujuan menghukumnya kerana memecahkan mainan.
Pihak berkuasa tempatan sudah mengarahkan tadika itu menangguhkan operasinya selepas insiden itu terbongkar.
Pihak terbabit juga mencadangkan ibu bapa memindahkan anak-anak mereka ke taska lain.
"Kami akan menangani kes itu dengan serius dan pastinya tidak akan menunjukkan sebarang kelonggaran," kata Lam Dinh Thang, seorang pegawai kerajaan tempatan.
Guru itu cuba menawarkan pampasan kepada keluarga kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu, tetapi persetujuan tidak dicapai, kata laporan itu.
Tidak jelas apakah hukuman yang akan diterimanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan