"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa agaknya langkah PN sekarang?

Mohsin Abdullah

Timbul persoalan sama ada PN boleh main peranan sebagai blok pembangkang utama susulan kegagalan rampas kerusi Kuala Kubu Baharu.

Ada masalah orang politik terutama pemimpin. Mereka suka dengar dan percaya apa yang mereka suka dan mahu percaya. Sama ada pemimpin kerajaan mahupun pembangkang.

Sekarang yang ketara ialah pemimpin Perikatan Nasional (PN) dalam konteks kekalahan PRK Kuala Kubu Baharu Sabtu lalu. Khususnya Azmin Ali, selaku pengarah pilihan rayanya.

Begini. Sehari sebelum pilihan raya diadakan badan penyelidik Ilham Centre mengeluarkan dapatan kaji selidiknya bahawa walaupun saingan sengit diberikan PN, sedikit kelebihan memihak kepada Pakatan Harapan (PH). Sekali gus menggambarkan PH akan mengekalkan kerusi KKB. Huraian dapatan berkenaan tidak perlu saya ulangi.

Yang ingin saya sampaikan ialah respons Azmin kepada dapatan itu. Kata beliau kemenangan ditentukan rakyat bukan kaji selidik. Jelas merujuk dapatan Ilham Centre. Dengan berkata sedemikian Azmin hanya menyatakan apa yang nyata. ‘Stating the obvious’. Tentulah dalam pilihan raya rakyatlah yang menjadi penentu kerana sememangnya mereka pengundi.

Azmin sebenarnya menolak dapatan Ilham Centre yang semua faham tidak menyenangkannya. Sebaliknya beliau menampilkan kajian PN sendiri yang katanya menunjukkan sambutan pengundi terhadap calon PN ‘sangat positif dan ia memberi peluang baik untuk memenangi PRK ini’. Panjang lebar beliau bercakap dan memberi contoh apa yang beliau lihat ‘sambutan positif’. Ini pun saya tidak perlu ulangi.

Saya setuju dengan wartawan FMT Nicholas Chung kegagalan merampas Kuala Kubu Baharu adalah tamparan buat Azmin dalam usaha mengejar aspirasi politiknya menerusi pemilihan Bersatu yang dijadual tidak lama. Azmin ialah ketua Bersatu Selangor dan selaku ‘panglima perang’ PN di KKB bertanggungjawab atas strategi jentera PN untuk PRK ini.

Realitinya rakyat sudah membuat penentuan. Ramalan Ilham Centre tepat. Cuma ‘saingan sengit’ dijangkakan tidak berlaku. Lantas PH menang selesa. Tindak balas Azmin ialah dengan berkata meskipun gagal, sokongan pengundi berusia kepada calon PN meningkat. Dan kata beliau lagi undi PH ‘lebih teruk merosot’ berbanding PN.

Apa pun kegagalan PN merampas kerusi KKB menimbulkan persoalan sama ada gabungan itu cukup meyakinkan dalam memainkan peranan sebagai blok pembangkang utama walaupun ‘sokongan kepadanya tidak merosot’. Ini kata penganalisis Anis Anwar Suhaimi yang dilapor portal berita dilihat pro-PN. Laporan yang boleh dianggap tidak menyenangkan PN disiar portal pro-PN suatu perkembangan menarik.

Anis seterusnya dilapor berkata keputusan itu menunjukkan kepegunan sokongan pengundi dan ketidakmampuan PN untuk menarik sokongan tambahan rakyat, walaupun ia masih mengekalkan popularitinya dalam kalangan pengundi.

Saya rasa kalangan pengundi yang dimaksudkan ialah pengundi Melayu. “Sokongan pengundi Melayu kepada PN masih kuat tetapi sebahagian kecil mula memberi kepercayaan kepada PH,” kata Yusri Ibrahim ketua penyelidik Ilham Centre sebaik keputusan pilihan raya diumum.

Kata Yusri lagi pertambahan kecil itu sudah dijangka kerana Umno bekerja keras memujuk pengundi terasnya memilih calon PH daripada DAP. Berdasarkan itu bukan sahaja PN tidak mampu menarik sokongan tambahan rakyat seperti dikatakan Anis, PN juga kehilangan undi Melayu yang diperoleh pada PRU15 dan PRN sebelum ini.

Kali ini juga undi anggota keselamatan dan keluarga mereka banyak berpindah kepada PH. Majoriti mereka orang Melayu. Kesimpulan terbaik dibuat oleh Anis: “Walaupun PN meletakkan calon Melayu ia tidak cukup untuk menarik tambahan pengundi Melayu.”

Kata Hisomuddin Bakar pengarah eksekutif Ilham Centre pada laporan yang juga disiar portal pro-PN isu dan naratif dibawa PN kurang bersesuaian untuk pengundi Melayu Selangor dan juga kawasan kerusi bercampur seperti Kuala Kubu Baharu.

Kata beliau sehari sebelum pengundian: “Pengundi Melayu Selangor berbeza dengan pengundi di jajaran majoriti Melayu seperti Kedah, Terengganu atau Kelantan. Kurang cermat dengan asakan perkauman dan agama dengan harapan pengundi Melayu kekal tetapi dalam masa yang sama pengundi bukan Melayu makin menjauh.”

Itulah yang terjadi pada 11 mei lalu. Itulah pengalaman perit PN di Kuala Kubu Baharu. Undi protes yang PN harapkan daripada pengundi masyarakat India juga tidak berlaku. Lalu PH mengekalkan trend penguasaannya daripada undi bukan Melayu dan meraih sedikit undi Melayu untuk mencipta kejayaan.

“Faktor keluar mengundi dan politik identiti juga menyumbang kepada pola pengundian kali ini kerana dikatakan peratusan pengundi bukan Melayu agak ketara berbanding pengundi Melayu,” menurut penganalisis politik Sivamurugan Pandian.

(Perlu dinyatakan juga PH tidak boleh ‘take the non Malay votes for granted’ selepas ini. Bagi Umno pula kata Yusri, banyak yang perlu dilakukan untuk meyakinkan ahli mereka menerima konsep perpaduan. Izin saya menambah. Kerja keras juga perlu untuk mendapat sokongan Melayu keseluruhan. Ini kita cerita di lain hari).

Dalam bahasa mudah setiap parti atau gabungan politik memerlukan sokongan semua kaum jika mahu memerintah negara pelbagai bangsa dan agama seperti Malaysia. ‘This is not rocket science’. PN tahu hakikat ini. Persoalannya boleh atau mahukah ia berubah? Atau mahu tetap ‘menjual’ retorik politik identiti serta naratif garis kaum yang membentuk polarisasi undi?

Di KKB PN menggunakan kos sara hidup dan apa yang dilihatnya sebagai kepincangan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim sebagai modal berkempen. Tetapi tidak dinafikan juga bak kata Ahli Parlimen Bangi daripada DAP Syahredzan Johan PN memainkan isu ‘sekolah vernakular, agama, etnik calon dan sentimen konon Melayu hilang kuasa’.

Kata seorang pemerhati politik ada yang dijadikan isu ialah mengaitkan DAP dengan ‘bintang tiga dan komunis’. Rujuk pula ucapan Presiden PAS Hadi Awang pada satu ceramah PN. Beliau bercakap mengenai DAP, PAP dan Lee Kuan Yew. Tidak tergamak saya ulanginya di sini. Sekadar menyatakan sedih kata-kata seperti itu dilafaz seorang ahli politik veteran dan bergelar ulama.

Politik identiti yang dianjurkan ditolak rakyat sekurang-kurangnya di Kuala Kubu Baharu dua hari lalu ini. Saya hargai penolakan itu ketika saya mengenang peristiwa berdarah yang berlaku 55 tahun lalu. Kebetulan hari ini 13 Mei.

Tiada ulasan: