Bharianonline
Penyerang Aston Villa, Jhon Duran (tengah) dalam laluan untuk menjaringkan gol ketiga pasukannya menentang Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris di Villa Park, Birmingham awal pagi tadi. – Foto AFP
BIRMINGHAM, England: Pemain gantian dari Colombia, Jhon Duran menyumbat dua gol lewat membantu Aston Villa seri 3-3 dengan Liverpool di laman sendiri yang menyaksikan mereka berada di ambang layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Perlawanan yang bermula dengan penjaga gol Villa, Emiliano Martinez menjaringkan gol sendiri selepas hanya 62 saat berubah sebaliknya apabila Duran tampil untuk menyelamatkan tuan rumah dengan jaringan pada minit ke-85 dan 88.
Villa kini mengumpul 68 mata dengan berbaki satu perlawanan, lima mata di depan pasukan tangga kelima Tottenham Hotspur yang mempunyai baki dua perlawanan tetapi mesti menundukkan pemburu kejuaraan Manchester City awal pagi esok untuk kekal bersaing.
Tottenham menamatkan musim mereka di kelab tercorot Sheffield United Ahad ini, manakala anak buah Unai Emery beraksi perlawanan terakhir mereka di kelab tangga ke-12 Crystal Palace.
Liverpool dihadiahkan gol pembukaan apabila pemain antarabangasa Argentina, Martinez gagal menangkap kemas hantaran silang Harvey Elliott sekali gus tertolak bola ke dalam golnya sendiri.
Ia gol sendiri ketiga dilakukan Martinez dalam Liga Perdana Inggeris, lebih banyak berbanding mana-mana penjaga gol dalam sejarah pertandingan itu.
Villa, yang boleh memastikan tempat keempat jika menang, menyamakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi Youri Tielemans sekembalinya pemain Belgium itu daripada tidak beraksi tiga perlawanan kerana kecederaan.
Kegembiraan mereka hanya seketika apabila Cody Gakpo menjadikan kedudukan 2-1 buat pelawat yang juga pasukan tangga ketiga pada minit ke-23, selepas semakan VAR kerana ofsaid dan Jarell Quansah kemudian menanduk masuk ke penjuru gol susulan sepakan percuma bagi gol pertamanya dalam EPL pada minit ke-48. - REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan