Bernama-KYODO
Tokyo: Seorang remaja lelaki dirujuk kepada pendakwa raya pada Khamis kerana didakwa menggunakan cermin mata pintar yang dilengkapi kamera untuk menipu dalam peperiksaan kemasukan universiti dengan mengambil gambar soalan dan berkongsi dengan netizen, lapor agensi berita Kyodo.
Remaja berusia 18 tahun itu yang menduduki peperiksaan untuk Universiti Waseda berprestij di Tokyo pada Februari, didakwa meminta beberapa individu di platform X untuk menjadi "tutor dalam talian" untuknya terlebih dahulu dan memberikan beberapa ribu yen setiap orang dalam pembayaran elektronik untuk bantuan mereka semasa peperiksaan, menurut polis.
"Saya kesal dengan salah laku saya, yang lebih teruk daripada menipu," kata remaja itu, yang akhirnya tidak diterima, dipetik sebagai berkata oleh polis, menjelaskan bahawa dia telah menulis jawapannya berdasarkan respons yang diterimanya.
Menurut pihak universiti, individu yang memberikan jawapan kepada pelajar tersebut tidak menyedari bahawa soalan itu adalah daripada peperiksaan kemasukan ke universiti yang sebenar.
Remaja itu yang merupakan pelajar sekolah menengah atas di Tokyo pada masa kejadian didakwa, melanggar peraturan universiti swasta itu dengan mengambil gambar kertas peperiksaan dan memuatnya ke platform X dengan telefon pintarnya pada 16 Februari semasa ujian kemasukan untuk Sekolah Sains dan Kejuruteraan Kreatif.
Cermin mata pintar itu dapat menghantar imej ke telefon pintarnya, yang disembunyikan dalam poket seluarnya, menurut polis.
Universiti menghubungi polis selepas seorang pegawai menyedari adanya kamera kecil pada bingkai cermin matanya ketika dia datang untuk ujian lain bagi Sekolah Perdagangan institusi itu pada 21 Februari.
Universiti Waseda dalam laman webnya pada Khamis berkata, ia mengemukakan aduan jenayah kepada polis kerana bimbang penipuan serupa boleh berlaku di universiti lain, selain kesukaran untuk menyiasat insiden tersebut secara dalaman.
"Kami akan bertindak keras dan berusaha mengekalkan persekitaran ujian masuk yang adil dan saksama," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan