NS Ramli
Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dilarikan seorang lelaki yang cuba mencuri kereta anaknya dalam kejadian di sebuah stesen minyak Semambu, dekat Kuantan, Pahang, petang semalam.
Bagaimanapun, pesara guru berusia 66 tahun itu bernasib baik apabila penjenayah terbabit sempat menyuruhnya keluar dari kenderaan berkenaan selepas memandu kereta berkenaan sejauh kira-kira 400 meter.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.10 petang ketika mangsa bersama suaminya dan anak perempuan mereka berhenti di stesen minyak berkenaan untuk ke tandas.
"Anak mangsa (wanita) yang bekerja sebagai akauntan adalah pemilik kenderaan jenis Honda City yang dilarikan suspek.
"Ketika kejadian, mangsa dan suami terlebih dahulu ke tandas, manakala anaknya menunggu di dalam kereta.
"Selepas mangsa masuk kereta, anaknya pula ke tandas stesen minyak berkenaan, manakala suami mangsa belum keluar dari tandas.
"Ketika itulah anaknya mendengar jeritan bekas guru terbabit meminta tolong dan melihat kereta berkenaan dipandu dengan laju keluar dari premis stesen minyak," katanya.
Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak terbabit dan kemudiannya tular di media sosial pagi tadi.
Difahamkan, keluarga itu menetap di ibu negara dan datang ke Kuantan untuk menghadiri majlis perkahwinan.
Wan Mohd Zahari memaklumkan, siasatan awal mendapati suspek datang ke stesen minyak itu dengan menaiki motosikal curi jenis Honda EX-5.
"Motosikal itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan sudah dibawa ke balai untuk tujuan pemeriksaan lanjut.
"Anak mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan jam 3.34 petang semalam.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.
Wan Mohd Zahari memberitahu usaha untuk mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan