"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Diacu pistol di kepala kerana enggan jadi ‘scammer’

Sahlizah Mohamed dan Fahmi Tajuddin
Mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja, Mohd Rahaizat.
KUALA LUMPUR: Segalanya bermula dengan satu tawaran dan satu panggilan telefon. Tawaran kerja sebagai pengawal peribadi di Kemboja membawa Mohd Rahaizat, 25, ke sebuah destinasi yang tidak pernah terlintas di fikirannya — pusat pemerdagangan manusia yang berselindung di sebalik operasi penipuan dalam talian.

Pada Mei lalu, dia menjadi antara mangsa sindiket yang memperdaya rakyat Malaysia dengan janji pekerjaan bergaji lumayan di luar negara, namun akhirnya dipaksa menjadi ‘scammer’ di beberapa syarikat milik sindiket terbabit.

Menurutnya, semuanya bermula apabila seorang rakan berkongsi tawaran kerja sebagai pengawal peribadi di Kemboja yang dikatakan menjanjikan pendapatan lumayan.

“Saya dapat tawaran daripada kawan yang memang dah kerja sana, sebagai bodyguard juga. Lepas tu saya bagitahu mak yang saya nak ke Kemboja. Sebab adik tengah sambung belajar, jadi saya nak bantu mak dan adik. Jadi saya pun pergi,” katanya dalam temu bual bersama Buletin TV3.

Namun sebaik tiba, realiti berubah sepenuhnya. Rakan yang sepatutnya menjemputnya ‘hilang’, sebaliknya tiga individu yang memperkenalkan diri sebagai warga Malaysia menahannya, merampas telefonnya dan membawanya ke sebuah apartmen lapan tingkat — setiap tingkat beroperasi sebagai syarikat penipuan.

Tanpa sebarang penjelasan, dia dipaksa menandatangani kontrak selama enam bulan untuk bekerja sebagai scammer. Apabila enggan, dia bertindak ‘mogok’ selama seminggu — dan sepanjang tempoh itu, dia dipukul, didera dan tidak diberi makan.

Apabila dia menyatakan hasrat untuk pulang, sindiket menuntut bayaran RM14,000 sebagai bayaran.

Namun akibat ketiadaan wang, dia dijual kepada syarikat lain — masih dalam rangkaian sindiket sama.

Antara detik paling mengerikan yang dikongsinya, Rahaizat menceritakan bagaimana dia menyaksikan rakan-rakan senasib ditembak di kaki, diseksa dengan renjatan elektrik.

Malah, dia turut diacu pistol di kepala kerana enggan memberi kerjasama kepada sindiket.

“(Di syarikat pertama) tempat kerja sangat teruk. Sampai sekarang pun saya masih rasa gatal terutama di bahagian belakang badan. Kami tidur atas lantai, tempatnya kotor. Macam duduk dalam rumah berkunci—langsung tak tahu siang atau malam sebab semua tingkap ditutup. Ada lebih kurang 30 orang dalam satu unit, belum masuk lagi perempuan,” katanya.

Dia turut dipaksa menyalin dan menterjemah skrip penipuan ke dalam Bahasa Melayu, dengan sasaran menipu dua hingga tiga mangsa setiap hari.

Rahaizat turut ditawarkan gaji AS$5,000 yang kemudiannya dikurangkan ke AS$3,000, namun sepanjang bekerja, dia langsung tidak menerima sebarang bayaran.

“Gaji memang tak pernah dapat. Kalau makan yang disediakan pun ada babi, tapi saya dan kawan-kawan Melayu Islam tak makan.

Kami cuma makan mi segera. Ada seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina yang selalu tolong belikan dan kongsi dengan kami,” katanya.

Ditanya bagaimana dia dapat menghubungi keluarga, Rahaizat berkata hanya selepas dijual ke syarikat kedua barulah dia dibenarkan menelefon ibunya seminggu sekali selama lima minit, dengan ‘boss’ memerhati di sisi.

“Seminggu sekali boleh telefon, tapi boss ada sebelah. Jadi nak cakap apa pun tak boleh sebab takut nanti kena pukul. Pernah seorang wanita Malaysia dapat call keluarga, masa tu dia terus mengadu kena dera.

Boss terus rampas telefon dan pukul dia depan semua orang,” katanya lagi.

Menurutnya, sepanjang berada di sana, tekanan fizikal dan mental amat dahsyat. Mereka dipaksa bekerja dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, demi memenuhi ‘kuota mangsa’ seperti diarahkan sindiket.

Tiada ulasan: