"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi gembira 95 peratus hasil kerjanya dalam dokumen akhir RMK13 kekal

Malaysiakini 

Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli menzahirkan rasa gembira apabila hampir 95 peratus daripada yang dibangunkan sepanjang proses merangka hingga dia meletak jawatan, kekal dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.

“Saya belum berpeluang meneliti setiap perkataan pada setiap muka surat dokumen RMK13 yang dibentangkan hari ini.

“Bagaimanapun, berdasarkan ringkasan eksekutif yang saya baca setakat ini, saya gembira kerana hampir 95 peratus daripada apa yang diusahakan sehingga proses yang membawa kepada peletakan jawatan saya kekal dalam RMK13,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, semua pembaharuan besar yang melibatkan perubahan kepada sistem pendidikan, struktur ekonomi, dan tumpuan kepada perkara baharu seperti agenda negara menua dan membangunkan sektor ketiga, dikekalkan seperti sedia ada.

Dia berkata, selain itu, rekayasa ekonomi yang dimulakan sebelum ini, daripada NETR, KL20, JSSEZ, 'Made by Malaysia', beralih ke ekonomi berasaskan 'consumption powerhouse', CCUS dan yang dibangunkan serta belum diumumkan seperti Zon Pelaburan Pelancongan Khas (STIZ), semuanya ada.

"Begitu juga beberapa hasil kerja Kementerian Ekonomi yang banyak tentangan sebelum ini, termasuk pelaksanaan 'anti red tape act' (Iltizam) dan akta mengharamkan amalan Ali Baba, semuanya dikekalkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Akta Iltizam bertujuan untuk mengurangkan birokrasi kerajaan dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

“Insya-Allah, saya akan semak satu persatu pada minggu akan datang. Izinkan saya meneliti setiap muka surat dahulu.

"Saya dijangka membahaskan RMK-13 pada Isnin atau Selasa depan, diikuti dengan podcast YBM (Yang Berhenti Menteri) minggu depan, di mana saya akan menyertai Dr Muhammed (Abdul) Khalid untuk menganalisis RMK-13 dengan lebih mendalam," katanya merujuk kepada ahli ekonomi terkenal itu.

Rafizi juga berterima kasih kepada warga Kementerian Ekonomi, pasukan RMK13 dan kakitangan sokongan yang bertungkus-lumus menyediakan dokumen berkenaan selama 20 bulan.

"Selesailah satu tanggungjawab besar yang saya dan rakan di Kementerian Ekonomi pikul sejak November 2022, iaitu merangka perancangan masa depan lebih baik untuk rakyat Malaysia.

"Tugas mereka lebih mencabar akibat ura-ura rombakan perlu dibuat di saat akhir. Alhamdulillah, akhirnya ura-ura itu hanya reaksi politik sahaja.

"Ini bermakna kepemimpinan Kementerian Ekonomi berjaya mempertahankan supaya perancangan jangka masa panjang negara jangan dicampur aduk dengan hiruk-pikuk politik.

"Kita semua ada tugas baharu iaitu memastikan perancangan ini dilaksanakan dengan cekap, sesiapa pun menjadi kerajaan. Doa saya rakyat juga akan mendapat manfaat di masa akan datang," katanya lagi.

Tiada ulasan: