"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Wanita dilaporkan hilang dikhuatiri lemas, kereta ditemui atas jambatan

Buletin TV3 
Anggota Bomba melakukan pencarian wanita yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di kawasan sungai berhampiran Jambatan Lebuhraya Tekih, Kampung Pinang, Pedu. – Foto NSTP
KUALA NERANG: Seorang wanita dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas berkemungkinan terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Lebuhraya Tekih, Kampung Pinang, Pedu, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Aminuddin Mad Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.08 petang.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dari BBP Kuala Nerang tiba di lokasi tidak lama kemudian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Setibanya di lokasi, seorang wanita berusia 32 tahun dilaporkan hilang dan kereta Perodua Axia dipercayai miliknya ditemui di atas jambatan.

“Pihak Unit Kereta Peronda (MPV) Polis mengesyaki sesuatu dan melakukan pemeriksaan pada kamera papan pemuka (dashcam) kereta mangsa mendapati, mangsa dipercayai melintas bahagian belakang kereta menuju ke penghadang jalan jambatan dan kemudian hilang.

“Pihak berkuasa mengesyaki mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai dan tindakan yang dilakukan anggota Bomba adalah dengan melakukan pencarian mangsa menggunakan teknik pencarian di permukaan air dengan bantuan sebuah bot aluminium,” katanya lapor Berita Harian, hari ini.

Mohd Aminuddin berkata, operasi ditangguhkan pada jam 7 petang hari ini selepas tiada petunjuk ditemui, setakat ini.

Beliau berkata, operasi akan disambung pagi esok dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dan Unit Anjing Pengesan (K-9) JBPM di lokasi pencarian.

Tiada ulasan: