"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes kanak-kanak dibunuh: Jiran dedah sering dengar tangisan mangsa dan ibu bapa bertengkar

Harian Metro

Pasir Gudang: "Saya berjiran dengan tiga beranak berkenaan sejak setahun lalu dan pernah mendengar tangisan mangsa selain bunyi bising ibu bapanya akibat bertengkar mulut," kata Kamarudin Abdullah, 47.

Kamarudin berkata, dia terkilan dengan nasib malang yang menimpa anak jirannya yang berusia enam tahun.

Menurutnya, beberapa hari lalu, dia difahamkan, kanak-kanak itu hilang dan sedang dikesan pihak berkuasa serta keluarga.

Katanya, dia tidak menyangka kanak-kanak lelaki yang dipercayai anak tunggal kepada pasangan berusia 30-an itu kini 'pergi' selamanya.

"Mangsa kelihatan normal dan sebelum ini, saya pernah berbual dengan pasangan itu namun mereka kurang bercampur dengan jiran.

"Rumah ini dipercayai milik keluarga wanita itu dan sebelum ini dihuni adik-beradik wanita berkenaan," katanya ditemui di kediamannya di Bandar Seri Alam, Masai, di sini, hari ini.

Kamarudin berkata, sejak sebulan lalu, pasangan itu tidak tinggal di kediaman berkenaan namun mereka hanya mengunjungi rumah itu sesekali secara berasingan.

Namun katanya, sudah hampir sebulan dia tidak melihat anak pasangan itu di kediaman berkenaan.

"Mereka mungkin keluar rumah. Namun saya tidak tahu punca atau permasalahan antara pasangan itu.

"Saya tidak sangka perkara seumpama ini berlaku, sebagai jiran saya turut berdukacita dengan kematian kanak-kanak berkenaan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Tasek 28, Bandar Seri Alam, Masai di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan di kediaman mangsa mendapati rumah berkenaan berkunci.

Malam tadi, media melaporkan, mayat kanak-kanak berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di kawasan Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, 24 Julai lalu, ditemukan ditanam di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan.

Penemuan mayat kanak-kanak itu susulan penahanan lelaki berusia 36 tahun oleh polis Johor, semalam.

Kira-kira jam 4.30 petang semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol menerima maklumat penemuan mayat di Rompin.

Mayat dibawa ke Hospital Rembau untuk prosedur bedah siasat.

Hasil siasatan awal mendapati, kejadian awal berlaku di Johor Bharu yang mana seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun dilaporkan hilang.

Hasil siasatan, polis menahan suspek yang juga bapa mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: