Agensi
New Delhi: Wanita muda yang menyertai sesi pemilihan anggota pasukan sukarelawan di Bihar, India dirogol bergilir-gilir dalam sebuah ambulans ketika perjalanan ke hospital selepas pengsan semasa ujian fizikal.
Insiden menggemparkan itu berlaku pada 24 Julai lalu di padang Polis Tentera Bihar di Bodh Gaya ketika sesi ujian fizikal dijalankan sebagai sebahagian daripada proses pengambilan anggota baharu.
Menurut polis, mangsa berusia 26 tahun itu rebah secara tiba-tiba semasa ujian ketahanan menyertai Home Guard, sebelum segera dibawa ke hospital menggunakan ambulans yang disediakan di lokasi.
Namun, kata polis, mangsa mendakwa dia dirogol beberapa lelaki di dalam ambulans ketika berada dalam keadaan separuh sedar.
Selepas membuat laporan di Balai Polis Bodh Gaya, satu Pasukan Siasatan Khas (SIT) bersama pasukan forensik dikerah menjalankan siasatan terperinci.
Dua suspek berjaya ditahan beberapa jam selepas laporan dibuat, iaitu pemandu ambulans dan juruteknik perubatan di dalam kenderaan itu.
Kedua-dua suspek kini berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.
Menurut pihak berkuasa, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi mengesahkan laluan dan garis masa pergerakan ambulans itu, menguatkan lagi siasatan.
Dalam aduan yang dibuat, mangsa berkata, dia hanya menyedari sebahagian kejadian itu dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri sepenuhnya sepanjang perjalanan.
Selepas mendapatkan rawatan perubatan, wanita itu memaklumkan kepada pihak hospital dan polis bahawa tiga hingga empat individu yang berada dalam ambulans merogolnya.
Insiden itu mencetuskan kecaman Ahli Parlimen Parti Lok Janshakti (Ram Vilas), Chirag Paswan, yang menyifatkan jenayah di Bihar kini berada pada tahap membimbangkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan