"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita kahwini dua beradik serentak, adat pelik dipendalaman India

Harian Metro

Shimla, India: Dua beradik lelaki di kawasan pedalaman India mencetuskan kontroversi apabila berkahwin dengan wanita sama, mematuhi adat lama kaum mereka meskipun dikritik kumpulan hak wanita selepas gambar perkahwinan mereka tular, lapor The Straits Times.

Amalan poliandri adalah dilarang di India tetapi dibenarkan di sesetengah kawasan suku kaum termasuk wilayah pergunungan Himalaya, bagi membolehkan pemeliharaan sebahagian tradisi kuno.

Perkahwinan Pradeep dan Kapil Negi dengan Sunita Chauhan berlangsung selama tiga hari pada 12 Julai lalu di Himachal Pradesh, di kawasan pergunungan Himalaya.

Ketika upacara itu, tiga individu dari suku Hatti mengelilingi api yang dianggap suci, sementara penduduk kampung menyanyikan lagu-lagu rakyat.

"Kami buat secara terbuka kerana bangga dengan adat ini," kata Pradeep kepada agensi berita Press Trust of India, manakala Kapil menambah mereka akan memberi kasih sayang bersama sebagai satu keluarga.
Dalam adat berkenaan, isteri akan tinggal bergilir-gilir dengan kedua-dua suami mengikut jadual dipersetujui, dan anak akan dibesarkan bersama tetapi abang sulung dinamakan sebagai bapa sah.

Seorang daripada mereka ialah penjawat awam, manakala seorang lagi bekerja di luar negara.

Namun, Persekutuan Demokratik Wanita Seluruh India (AIDWA) mengecam perkahwinan itu sebagai eksploitasi terhadap wanita dan melanggar hak asasi.

"Amalan seperti ini menindas wanita dan bercanggah dengan prinsip hak asasi," tegas Setiausaha Agung AIDWA, Mariam Dhawale.
Kira-kira 300,000 penduduk suku Hatti menetap di daerah Sirmaur, kawasan terpencil di Himachal Pradesh.

Tiada ulasan: