"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Penyelia hotel didakwa lakukan seks luar tabii pekerja wanita

Mohd Ishak Abdillah Ngah
Tertuduh, Mohd Arid Zakaria diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.
KUALA TERENGGANU: Seorang penyelia pembersihan sebuah hotel didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan jenayah seksual termasuk persetubuhan luar tabii terhadap pekerja wanita bawahannya.

Tertuduh, Mohd Arid Zakaria, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zul Zakiqudin Zulkifli.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd Arid didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap mangsa yang berusia 18 tahun 11 bulan, di sebuah dewan hotel di Kuala Nerus pada jam 1 petang, 20 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan niat untuk mencabul kehormatannya, iaitu di lokasi sama iaitu dalam dewan dan stor hotel pada hari yang sama.

Bagi dua pertuduhan ini, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana daripada hukuman itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Rahman Razak.

Tiada ulasan: