"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Maut selepas prosedur tanam rambut

Agensi

Istanbul: Seorang lelaki United Kingdom (UK), baru-baru ini, maut selepas menjalani prosedur pemindahan rambut di sebuah klinik di Istanbul, Turkiye, lapor The Sun.

Akhbar itu memetik laporan media tempatan, OdaTV, yang menyatakan mangsa, 38, terbang ke Istanbul dan menjalani prosedur selama lima jam di Klinik CINIK yang terletak di daerah Besiktas, 28 Julai lalu.

Bagaimanapun, tidak lama selepas pembedahan selesai, pelancong itu dilaporkan mengalami komplikasi serius sebelum dikejarkan ke hospital bagi rawatan kecemasan.

Lelaki berkenaan bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Institut Perubatan Forensik untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang ke UK.

Dalam pada itu, pihak polis kini membuka siasatan dan mengklasifikasikan kes itu sebagai kemungkinan berpunca daripada kecuaian.

Difahamkan, pihak berkuasa sudah menyoal siasat beberapa kakitangan klinik terbabit termasuk pakar bedah, pakar bius dan jururawat yang terbabit dalam prosedur berkenaan.

Sementara itu, Jurucakap Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan (FCDO) berkata, pihaknya sedang membantu keluarga lelaki berkenaan dan berhubung dengan pihak berkuasa tempatan.

Tragedi itu berlaku ketika Turkiye mencatatkan lonjakan dalam sektor pelancongan perubatan dengan negara itu kini merangkumi hampir 60 peratus pasaran pemindahan rambut global hasil prosedur berkualiti tinggi pada harga lebih murah.

Susulan itu, Majlis Pelancongan Kesihatan Turkiye melaporkan lebih sejuta pelancong ke negara itu setiap tahun untuk rawatan pemulihan rambut.

Menurut Klinik Dr Serkan Aygin, angka itu dijangka meningkat kepada 1.1 juta menjelang 2025.
-hmetro 

Tiada ulasan: