Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

ANGGOTA tentera yang dikatakan melepaskan tembakan sehingga terkena rakan setugas di lapang sasar dekat Hutan Menyala, Port Dickson, petang semalam dibawa ke Mahkamah Seremban untuk direman. FOTO Ahmad Hasbi
Seremban: Anggota tentera yang dikatakan melepaskan tembakan sehingga terkena rakan setugas di lapang sasar dekat Hutan Menyala, Port Dickson, petang semalam direman tiga hari.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, permohonan reman dibuat pagi ini di Mahkamah Majistret di sini.
"Permohonan terhadap suspek dibuat di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Seremban, Noor Shazziera Safaruddin.
"Reman terhadap suspek yang berusia 20-an itu dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 15 Ogos depan bagi melengkapkan siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas mengenai keadaan mangsa yang juga berusia 20-an, Mohd Nasharudin berkata, anggota tentera itu berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.
"Keadaan kecederaan sebenar mangsa belum dapat dipastikan kerana masih menunggu laporan rasmi pemeriksaan daripada doktor yang merawatnya," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya turut merampas satu senjata api yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini," katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang anggota tentera cedera selepas dikatakan terkena tembakan yang dilepaskan rakannya ketika berada di lapang sasar dekat Sungai Menyala, kira-kira jam 2.15 petang Rabu.
Mohd Nasharudin dilaporkan berkata, mangsa mengalami kecederaan di muka selepas terkena tembakan yang dilepaskan seorang rakan sepasukan ketika mangsa bersama beberapa anggota lain berada di lokasi berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan