"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Radzi ‘calon simpanan utama’ MB Selangor jika Azmin tewas

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Dua bekas menteri Azmin Ali dan Radzi Jidin dilihat sebagai calon utama Perikatan Nasional untuk menteri besar Selangor, jika gabungan itu menang PRN akan datang susulan pelantikan mereka sebagai penyelaras pilihan raya.

Penganalisis politik, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata peluang Azmin dilihat lebih cerah berbanding Radzi kerana pernah menjadi menteri besar Selangor dari 2014 hingga 2018, namun timbul kebimbangan beliau bakal berdepan satu lagi episod kekalahan seperti di Parlimen Gombak pada PRU15.

Berdepan situasi terbabit, Azmi percaya PN meletakkan Radzi sebagai “calon simpanan” sekiranya Azmin tewas, memandangkan beliau berpengalaman sebagai menteri dan kemampuannya menundukkan ahli politik veteran Umno, Tengku Adnan Mansor di Putrajaya pada PRU15.

“Jadi sekarang bergantung di mana beliau (Azmin) hendak bertanding. Kemenangannya belum terjamin, sebab itu Radzi dan Abdul Rashid Asari (ketua Bersatu Selangor) jadi simpanan sekiranya Azmin tewas.

“Kalau dibaca ucapan Muhyiddin Yassin memang yakin Bersatu menawan Selangor,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas pelantikan Azmin, Radzi, dan Rashid sebagai penyelaras Bersatu di Selangor menjelang PRN akan datang. Pada Ahad, Muhyiddin berkata pemimpin daripada Bersatu akan dipilih sebagai menteri besar Selangor dan Negeri Sembilan jika PN menawan negeri berkenaan.

Bagaimanapun, Azmi berpendapat kes mahkamah yang sedang dihadapi pemimpin Bersatu akan menyukarkan angan-angan Muhyiddin merampas dua negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) itu, walaupun PN membuat kejutan pada PRU15.

“Mengambil kira gelombang hijau semasa PRU15, ia tidak berlaku di negeri Barat Semenanjung, termasuk Selangor dan Negeri Sembilan.

“Ditambah pula dengan isu Jana Wibawa, agak sukar untuk Bersatu dan PN menawan dua negeri ini,” katanya.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia senada dengan Azmi bahawa Bersatu meletakkan Azmin sebagai calon menteri besar, namun perlu mempertimbangkan kawasan selamat untuk beliau.

“Muhyiddin boleh memindahkan Azmin ke kerusi boleh menang jika merasakan Bukit Antarabangsa (kawasan disandang Azmin) bermasalah berdasarkan keputusan PRU15.

“Saingan dijangka sengit di Selangor, perlu ada rancangan B dan C jika rancangan utama tidak menjadi contohnya calon utama menteri besar kalah,” katanya.


DUN Bukit Antarabangsa yang disandang Azmin terletak dalam Parlimen Ampang. Pada PRU lalu, calon PH Rodziah Ismail menewaskan Zuraida Kamaruddin dan lapan pencabar lain, dengan 56,754 undi dan majoriti 29,681.

Wakil Pas tidak kelihatan di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, cetus spekulasi bakal keluar PN

MAISARAH AISYA

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menolak tuduhan bahawa Pas meninggalkan gabungan pembangkang persekutuan Perikatan Nasional (PN).

Sebagai tindak balas ringkas, timbalan presiden parti Islam mengatakan tidak ada perbincangan seperti itu dalam Pas.

“Tidak ada perkara seperti itu. Tidak pernah dibahas, ” Tuan Ibrahim memaklumkan ketika ditemui wartawan di Parlimen semalam.

Khabar angin itu muncul semula semalam setelah pemimpin tertinggi Pas tidak menghadiri mesyuarat agung tahunan sekutu PN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (AGM) secara tertutup semalam.

Tuan Ibrahim mengatakan ketiadaan mereka disebabkan oleh pertembungan tarikh, kerana Pas juga mempunyai beberapa acara pada hujung minggu.

“Sebenarnya kami sudah memberitahu (Bersatu). Terdapat jemputan tetapi secara kebetulan bahagian Pas mengadakan mesyuarat agung tahunan mereka juga, ada di antara kita yang berada di bahagian ini untuk merasmikan mesyuarat mereka.

“Walaupun saya sendiri, saya berada di lima bahagian, saya telah memeriksa dengan rakan-rakan saya, mereka juga melakukan perkara yang sama,” katanya.

Kerajaan PN sedia RM7.1 bilion biaya 67 projek bawah Jana Wibawa

Yasmin Abdul Latif

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu memperuntukkan RM7.163 bilion untuk membiayai 67 projek bawah Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), kata Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan.

“Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) ada dua projek, Jabatan Perdana Menteri (2), Kementerian Air dan Sumber Asli (7), Kementerian Kesihatan (1), Jabatan Kerja Raya (3), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (42).

“Kementerian Pendidikan (4), Kementerian Pendidikan Tinggi (4), Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pertahanan masing-masing satu projek. Jumlah keseluruhannya sebanyak RM7.163 bilion,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Terdahulu, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berdepan tujuh pertuduhan berkait projek Jana Wibawa.

Pagi tadi, pengerusi PN itu mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi tuduhan pengubahan wang berhubung program Jana Wibawa, selepas beliau meminta dibicarakan atas empat tuduhan meminta rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta pada Jumaat lalu.

Hutang 1MDB

Menjawab soalan Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung jumlah hutang 1MDB, Ahmad berkata, jumlah hutang diambil alih sebanyak RM53.5 bilion.

Setakat ini, katanya, RM24.5 bilion dibayar kerajaan melalui “shareholder advance” atau pinjaman dan bayaran melalui akaun amanah sebanyak RM19.3 bilion, menjadikan keseluruhan hutang dilangsaikan berjumlah RM43.8 bilion.

“Jumlah baki hutang belum dibayar ialah RM9.7 bilion yang merupakan prinsipal RM5 bilion dan faedah RM4.7 bilion.

“Tetapi, kita dapat aset diperoleh daripada 1MDB adalah RM20.3 bilion dan kita juga dapat penyelesaian International Petroleum Investment Company (Ipic) lebih kurang RM8 bilion,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan dua firma pelaburan Abu Dhabi itu bersetuju membayar USD1.8 bilion kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan 1MDB.

Katanya, penyelesaian itu dicapai menerusi prosiding di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.