"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

12 tahun diburu polis, lelaki akhirnya didakwa kes bunuh ‘bouncer’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Selepas 12 tahun diburu polis, seorang pekerja kedai aksesori kereta akhirnya didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth hari ini kerana disyaki membunuh seorang pengawal kelab malam atau ‘bouncer’ pada 2013.

Harian Metro melaporkan Ooi Chin Leng, 38, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa bersama seorang individu masih bebas membunuh Fouzi Hussen, 24, di Taman Desa Murni, Sungai Dua pada 5.25 pagi 24 Jan 2013.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi mendapatkan laporan DNA tertuduh kerana ia kes lama dan tertuduh baru ditangkap polis.

Majistret tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 23 Julai ini sebutan semula kes, termasuk mendapatkan profiling DNA tertuduh.

Media pernah melaporkan seorang ‘bouncer’ maut ditembak seorang lelaki dalam pergaduhan di sebuah premis perniagaan di Taman Desa Murni, Butterworth pada 24 Jan 2013.

Ketua Polis Pulau Pinang ketika itu, Abdul Rahim Hanafi dilaporkan berkata, seorang lelaki tempatan ditemui maut dengan satu kesan tembakan di rusuk kiri pada 5.25 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati perbincangan perniagaan antara mangsa dan beberapa lelaki bertukar menjadi pergaduhan apabila gagal mencapai kata sepakat.

Gara-gara jiran bela haiwan peliharaan dalam kondominium seorang wanita lepaskan 2 ekor ular besar kawasan lif perumahan

Buletin TV3 
Dua ekor ular besar dilepaskan oleh seorang penghuni kondominium di Ratchada, sebagai tindak balas terhadap jiran yang memelihara haiwan peliharaan.- Foto Facebook Onginn
BANGKOK: Seorang wanita yang juga penduduk sebuah kondominium di Ratchada mencetuskan kekecohan selepas melepaskan dua ekor ular di kawasan lif perumahan itu sebagai protes terhadap jiran-jirannya yang memelihara anjing dan kucing.

Wanita tersebut, yang dikenali sebagai Onginn, turut memuat naik video dan gambar di Facebook yang menunjukkan ular-ular itu berhampiran kawasan lif, Isnin lalu.

Dalam hantarannya, dia mendakwa telah membuat aduan kepada pihak pengurusan mengenai gangguan bunyi bising anjing menyalak, kencing kucing serta masalah kutu dan pepijat, namun tiada tindakan diambil pihak pengurusan.

“Awak bela anjing dan kucing, saya bawa ular, biar kondominium ini jadi taman hidupan liar.

“Bawalah kucing dan anjing anda keluar bermain! Haiwan peliharaan saya pun nak tunjuk kasih sayang. Mereka akan peluk anjing kamu seerat-eratnya sampai tak boleh menyalak,” tulisnya.

Tindakan itu tular dan mendapat pelbagai reaksi, dengan lebih 17,000 perkongsian dan ribuan komen di media sosial.

Beberapa pengguna di media sosial menyifatkan tindakannya sebagai ‘brutal tapi puas hati’, dan berpendapat dia tidak sepatutnya menanggung gangguan berpanjangan akibat keengganan jiran mematuhi peraturan.

Namun, ramai juga menganggap perbuatannya melampau dan berbahaya.

Ada juga yang menyangka rakaman itu dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) kerana kelihatan tidak realistik.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan kedua-dua pihak yang terlibat telah dipanggil oleh pihak pengurusan dan masing-masing dikenakan denda sebanyak 10,000 baht.

Masih ramai pengkhianat di KLIA

'Counter Setting': 4 pegawai disiasat, 25 Pati ditahan di KLIA

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Sepang: Empat pegawai sedang disiasat kerana didakwa bersubahat membantu warganegara asing melepasi pemeriksaan imigresen bagi tempoh Januari hingga April lalu.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memaklumkan ia hasil pemantauan berterusan yang dilakukan AKPS Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepanjang tempoh berkenaan.

Menurutnya, empat pegawai yang disiasat disyaki terbabit dalam aktiviti 'counter setting' iaitu amalan melepaskan individu tertentu melalui kaunter pemeriksaan tanpa melalui prosedur yang sah dan teratur.

"Selain itu, seramai 25 warganegara asing turut ditahan di KLIA bagi tempoh yang sama kerana cuba keluar dari negara ini.

"Warga asing dari Vietnam, Kemboja, India, dan Indonesia itu ditahan kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini dan pengesahan masuk mereka disyaki diperoleh tanpa prosedur yang sah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, AKPS memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau individu yang terlibat dalam sebarang salah laku atau perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara.

"Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk tindakan tatatertib terhadap pegawai-pegawai yang terbabit.

"AKPS akan terus mempergiatkan usaha pemantauan serta memperkemas

mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan pintu masuk negara tidak disalah guna oleh mana-mana pihak yang cuba menjejaskan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara,"katanya.