LAPORAN POLIS DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
20hb Februari 2009
—————————
Saya, ANWAR BIN IBRAHIM, merujuk kepada LAPORAN SURUHANJAYA DIRAJA UNTUK MENYIASAT KECEDERAAN DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM SEMASA DALAM TAHANAN POLIS (Suruhanjaya Tersebut) yang telah dipersembahkan kepada DYMM SPB YANG DIPERTUAN AGONG PADA 6 APRIL 1999.
Saya melaporkan bahawa Laporan Polis Travers Rpt:3977/98 yang dibuat pada jam 2.00 pagi 21.9.1998 oleh ACP Koh Hong San (kini Commissioner Datuk Koh Hong Sun) (“Koh”),mengandungi maklumat palsu bertulis yang direka. Sekalipun menyedari Laporan Polis ini mengandungi maklumat yang palsu berkaitan perkara yang mustahak, Koh telah menggunakannya dalam suatu prosiding penghakiman sepertimana ditunjukkan sebagai Ekshibit A1 Suruhanjaya Tersebut.
Dakwaan ini saya buat adalah berasaskan maklumat dalam pengetahuan saya sendiri dan keterangan dokumen dan penemuan yang direkodkan dalam Suruhanjaya Tersebut antara lainya yang penting seperti berikut:
20 Februari 2009
1. Saya telahpun membuat laporan polis ke atas Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Gani Patail pada 1hb Julai 2008 berhubung pembabitan mereka di dalam memalsukan bukti/keterangan penyiasatan kes serangan Rahim Noor ke atas saya.
2. Saya kesal kerana tiada sebarang tindakan diambil oleh Badan Pencegah Rasuah yang kini dikenal sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, walaupun sudah 8 bulan berlalu.
3. Kita diberitahu oleh Menteri di JPM Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, bahawa kertas siasatan tersebut sudah pun berada di Kamar Peguam Negara. Kita merasa ragu akan kebebasan siasatan tersebut kerana Peguam Negara sendiri terbabit sebagai mereka yang berkonspirasi memalsukan bukti.
4. Maklumat terperinci pembabitan Gani Patail berhubung penyiasatan polis itu telah didedahkan dalam penyata tuntutan yang difailkan oleh Dato Mat Zain(pegawai penyiasat di dalam kes saya) dalam satu tuntutan sivil beliau ke atas saya. Penyata tuntutan tersebut mengesahkan peranan Gani Patail dan Musa Hassan dalam episod tersebut.
5. Maklumat tersebut bersama analisis penjalanan prosiding Suruhanjaya Di Raja menjelaskan segala-galanya pembabitan Gani Patail dan Musa Hassan di dalam memalsukan bukti dalam kes yang lain.
6. Fakta/ Maklumat tersebut juga menunjukkan pembabitan mereka bersama pegawai polis kanan di dalam memalsukan satu laporan polis (Laporan Travers 3977/98) berhubung penahanan saya oleh ACP Koh, pegawai yang bertanggungjawab menahan saya, pada jam 2 pagi, 21hb September 1998. Laporan tersebut menyatakan saya ditahan di bawah ISA, bukannya kerana kes tuduhan liwat seperti yang dinyatakan oleh Koh beberapa jam sebelumnya di rumah saya. Ini dilakukan kerana mereka bertujuan menyembunyikan kecederaan saya dari diketahui umum, serta memastikan saya tidak perlu dihadapkan ke mahkamah sesegera mungkin.
7. Gani Patail dan Musa Hassan adalah mereka yang terlibat dan masih diberi kepercayaan mengetuai institusi penting di negara ini.
8. Hari ini saya membuat laporan polis berhubung pembabitan mereka di dalam konspirasi yang menyebabkan Koh membuat satu laporan palsu ke atas saya pada 21hb September 1998. Ini mengesahkan peranan mereka dalam konspirasi di sebalik laporan polis palsu yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun 2008.
9. Saya meminta satu tindakan segera diambil berhubung laporan polis yang dibuat oleh saya pada 1hb Julai 2008.
ANWAR IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan