"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

POLIGAMI ATAU PEREMPUAN SIMPANAN ?


Marilah kita mulakan dengan satu petikan Ayat Al-Quran yang bermaksud:

“Kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian, jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil maka (kahwinilah) seorang sahaja.” (Sebahagian dari maksud Surah An Nisa’: Ayat 3)

Jelaslah di sini bahawa agama Islam satu agama fitrah. Ia praktikal. Islam menyediakan ruang yang sah untuk mengiktiraf kehendak hambanya yang berkemampuan. Penyediaan alternatif menggambarkan sikap keterbukaan agama termulia ini untuk sesuai diamalkan dalam apa jua keadaan, masa dan ketika dimana-mana. Bagaimanapun, ia disediakan untuk dinikmati dan digunakan dengan penuh tanggungjawab. Ukuran tanggungjawab digariskan dengan terang melalui amalan keadilan. Adil di sini menyentuh soal giliran, pemberian nafkah zahir dan batin, makan, pakai, jaminan keselamatan dan tempat tinggal. Selaras dengan inilah saya menekankan pentingnya kaum wanita itu dilindungi dari penyalahgunaan amalan poligami yang sememangnya dihalalkan ini. Saya ada tekankan keperluan suami memberikan keadilan yang secukupnya dalam menggulung perbahasan Belanjawan 2003 pada 27 Oktober 2002 yang lalu. Ia keluar dalam akhbar-akhbar perdana. Jika perlu saya petik ia berbunyi:


“Saya bersetuju sangat kalau undang-undang yang dibuat ini berbentuk rotan dan bukan denda sahaja supaya dia berfikir dua kali. Berpoligami dalam Islam bukan untuk memuaskan nafsu.”

“Beliau menegaskan, undang-undang sebatan itu perlu diadakan kerana golongan terbabit berpoligami bukan kerana menolong janda atau isteri kedua, tetapi semata-mata untuk memuaskan nafsu. “Orang macam ini tidak boleh dibiarkan hukumannya serupa dengan orang yang berpoligami dengan baik.”

“Beliau banyak terdengar rayuan daripada saudari baru berkahwin dengan lelaki yang sudah berkahwin, dan selepas itu mengalami nasib ibarat ‘madu habis sepah dibuang’. “Lelaki macam ini kena ada hukuman sebat mandatori selain denda.” (Lihat Utusan Malaysia 28 Oktober 2002)

Saya percaya ini adalah satu pembelaan terhadap kaum wanita. Semoga saya diberikan keadilan dalam ulasan oleh mana-mana pihak walaupun saya sudah mulai melihat tulisan-tulisan nakal yang suka mencari peluang dan mencuri-curi pukul dari belakang. Jika itu sahaja yang dicari, dia akan dapat apa yang dicarinya. Misalnya Dato’ Rais yang cuba menganggap cadangan saya sebagai melucukan.

Dato’ Mustafa Mohamad pula mengganggap itu remeh temeh manakala sahabat mereka yang bernama Astora pula membesar-besarkan unsur tidak lojiknya merotan sampai mati pucuk. Buat Dato’ Rais, apa pula yang melucukan (Berita Harian 29 Oktober 2002). Jika tiada undang-undang, mari kita wujudkan. Perkara amalan poligami yang terseleweng perlu ditangani. Ia serius. Perihal pentingnya isu di sekitar wanita ditangani turut diwajarkan oleh pengwujudan Kementerian Pembangunan Wanita. Tidak ada yang remeh apabila menyentuh soal wanita. Ia melibatkan rumah tangga, masa depan keluarga, zuriat, anak cucu, penyakit sosial dan acuan pembentukan generasi yang akan datang. Oleh kerana itulah ia diperbincangkan di Sidang Dewan pada 25 Oktober 2002 yang lalu. Kita dapat lihat respond Dato’ Shahrizat yang segera dari cadangan saya ini. Semua ini adalah jawapan kepada Dato’ Mustafa dan Dato’ Rais… itupun jika mereka mahu faham. Kitapun bukan setakat bahaskan penyelewengan poligami, malah seluruh sektor pembangunan yang mencakupi segala aspek Belanjawan Negeri. Remeh temeh macam mana apabila Dewan bergema dengan pelbagai perkara serius yang mendengar kritikan, muhasabah, menilai perancangan, mengikuti status pelaksanaan projek, mengenal pasti kelemahan dan berazam azam bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri untuk membawa Kelantan Darulnaim ke satu tahap pencapaian yang lebih gemilang ditahun 2003.

Mengenai “merotan sampai mati pucuk”, ini dipanggil orang sebagai unsur mahu mengukuhkan hujah. Ia cuba serius untuk empertegaskan lagi keperluan dengan ditambah elemen sebatan. Ia berunsur cadangan awal untuk disusuli oleh sama ada Peringkat Negeri atau Pusat. Saya amat jelas. Sebagaimana tidak perlu diambil kapak untuk dibelah dada bagi membuktikan kesetiaan cinta, begitulah juga maksudnya. Kadang kala ada perkara yang tidak membawa makna yang sesungguhnya. Ia cuma penegasan. Misalan lain ialah seperti “hidup berdua mati bersama” atau “biar mati anak jangan mati adat”. Demikianlah juga istilah “sampai mati pucuk”.

Kita kena faham yang setiap dasar awam memerlukan tinjauan, kajian, penyertaan orang ramai dan penelitian terlebih dahulu. Sama ada memadai dengan hanya mendenda atau disertai dengan sebatan. Bukan main pakai isytihar dalam Perhimpunan Agung lalu terus mahu dilaksanakan. Jika mahu tahu lebih lanjut, sila semak bagaimana keputusan untuk memaksa penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains atau dalam mengisytiharkan Malaysia Negara Islam. Saya bukan begitu. Ini lontaran awal. Belum perlu lagi untuk kononnya sedemikian pro-aktif hinggakan mahu analisa bagaimana pula mahu merotan dan pastikan pesalah dibelasah hingga mati pucuk. Cuba-cubalah matang sedikit dan memahami cadangan utama yang menjadi maudhu’ untuk mengenakan penalti tambahan dengan merotan selain dari denda. Lihat isu dan cadangan penyelesaian yang dikemukakan secara keseluruhan. Kata orang Inggeris “look at the trees.” Saya kira setakat itulah dahulu buat sementara waktu.

Sehubungan dengan ini, orang Eropah secara terbuka, sangat tidak bersetuju dengan poligami. Terdapat pelbagai alasan dan ulasan negatif yang boleh kita ikuti dalam pelbagai majalah, makalah dan buku-buku tulisan mereka. Ada juga kadangkalanya mereka disertai sama oleh ahli-ahli sosiologi tempatan. Bagaimanapun, masalah manusia tetap tidak selesai. Naluri semula jadi ini akhirnya tidak dapat dikekang. Ia mencari pintu belakang lalu tercetuslah skandal-skandal hubungan luar nikah dalam bentuk perempuan simpanan. Jalinan cinta rahsia segi tiga atau kadang-kadang bersegi-segi kemudian berakhir dengan kelahiran gejala anak haram.

Dalam merahsiakan hubungan sulit ini banyak pulalah wang saku kedua-dua pihak yang dibazirkan. Belanja hotel, rumah sewa/apartment, duit poket, alat make up, bil elektrik, air dan telefon tambahan adalah diantara sebahagian daripadanya. Mungkin penyediaan kereta ‘sport’ menjadi keperluan “mandotary” bagi perempuan simpanan yang berkelas tinggi.

Huru hara yang bermula dari amalan berbohong dengan isteri, telah merebak kepada pembaziran wang untuk mencapaikan hajat. Akibatnya, timbullah gejala zina, pelacuran, anak haram, amalan pengguguran, tidak mengaku anak, pembuangan bayi, pembunuhan berikutan dendam dan dengki serta berbagai-bagai penyakit kelamin seperti siplis, HIV dan AIDS. Wanita yang bersedia menjadi perempuan simpanan kadang kala menjadi simpanan dalam amalan bersilang pasangan pada satu-satu masa. Ini lebih mendatangkan kegawatan. Dalam kes-kes yang lebih kronik, amalan ini turut terbongkar di gereja-gereja yang boleh kita ikuti kisah-kisah kejinya dalam akhbar dan majalah. Presiden AS seperti Clinton dan PM Britain seperti John Major tidak terkecuali dari terseret dalam kancah ini.

Saya melihat poligami dalam seribu satu macam keindahan. Ia menyediakan segala-galanya secara halal melalui peraturan syariat. Tentunya segala syarat dan rukunnya wajib dipatuhi. Bagi mereka yang berkemampuan, Allah S.W.T sentiasa membuka ruang poligami dalam pengertian ibadah yang luas. Keadilannya boleh disaksikan dan dicontohi melalui setiap amalan Rasulullah S.A.W. Tetapi awas! Jangan sampai melakukan kezaliman kepada kaum wanita. Ini yang saya cadangkan supaya disebat bagi mereka yang cuma mahu gunakan poligami untuk memuaskan hawa nafsu berkelamin semata-mata. Ambilah wanita dua, tiga atau empat mengikut kemampuan dengan melaksanakan keadilan yang dituntut oleh syariat dengan sepenuhnya. Berpoligamilah jika mampu tetapi “jika kamu khuatir (takut) tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja.” Menternak “mistress” akan menelurkan maksiat dan menetaskan seribu satu macam malapetaka yang membinasakan seluruh umat manusia.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
Bertarikh:23 Syaaban 1423 / 30 Oktober 2002

Tiada ulasan: