Azamin Amin Tue | Feb 17, 09 | 12:49:51 am MYT | |
KUALA LUMPUR, 17 Feb (Hrkh) -"PAS juga kena berhati-hati. Penyakit yang ada di tubuh Umno hari ini tidak mustahil akan merebak ke tubuh PAS apabila berkuasa.'Kuasa dan harta' bukan sedikit ujiannya." Suaranya vokal dan adakalanya kontroversi namun ramai yang 'merindui' pendapatnya yang berpaksikan tafsiran agama dan tidak bias kepada mana-mana pihak. Penolong PengarangHarakahdaily AZAMIN AMIN sekali lagi mendapatkan pandangan kritis bekas Mufti Perlis Dr. Asri Zainul Abdin yang kini berada di Lampeter, United Kongdom. Beliau sedang menjalankan kajian atas perbandingan tafsiran hadis antara kelompok tradisi dan modernis serta dalam cuti sabatikal yang diberikan oleh Universiti Sains Malaysia. Harakah: Mengapa Dr. lebih awal meletakkan jawatan sebagai Mufti dan tidak berhasrat menyambung semula ? Inikah yang dinamakan berundur sebelum berjuang? Boleh beritahu sebab letak jawatan sebenarnya? Dr Asri: Ya! Ratusan email, sms dan berbagai yang dihantar kepada saya menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan saya meninggalkan jawatan mufti. Mereka berpendapat saya membuat keputusan yang tidak tepat. Alhamdulillah, saya berterima kasih atas keprihatinan mereka. Saya bertawakkal kepada Allah atas segala perancangan. Sekarang ini pun banyak email yang dihantar menjemput saya pulang dengan ditawarkan berbagai-bagai urusan atau 'tanggungjawab'. Biarlah dulu saya di sini. Saya tidak jadi mufti untuk mengaut kesenangan. Alhamdulillah, sama sekali tidak. Saya serahkan urusan jiwa ini kepada Allah. Saya hanya ingin menjadikan jawatan itu sebagai medan tanggungjawab dan menyampaikan mesej Islam yang saya fahami. Saya berdoa kepada Allah sebelum menjadi mufti agar diberikan pertolongan kepada saya. Alhamdulillah, walaupun ada yang tidak bersetuju dengan saya, tetapi dalam tempoh tersebut pandangan dan isu yang saya lontar telah menjadi bahan perbincangan ilmu dalam masyarakat. Soal pro dan kontra itu perkara biasa. Jika perkara itu tiada pro dan kontra bererti tiada siapa yang mengambil peduli mengenainya. Banyak bahan telah saya tulis dalam tempoh tersebut dan tersebar dengan begitu luas. Begitu juga ceramah, kertas kerja, wawancara saya di sana-sini menjadi bahan yang diperbincangkan dengan meluas. Alhamdulillah, generasi muda dan lapisan terpelajar yang suka membaca sebelum membuat penilaian, yang tidak menjadikan maki-hamun sebagai landasan hidup, yang tidak mengulas sebelum mengetahui, mereka ini begitu ramai yang memberikan sokongan yang besar kepada saya. Dalam politik juga saya rasa, alhamdulillah, akhirnya banyak pihak akur bahawa saya tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam memberikan pandangan. Saya beberapa kali dijemput oleh Kerajaan Kelantan. Kali terakhir sebelum saya berhenti, saya sempat hadir jemputan ceramah Kerajaan Negeri Kelantan untuk Tabung Serambi Mekah yang di lancarkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sehari kemudian, saya dijemput oleh Perdana Menteri untuk memberikan ceramah khas kepada ahli kabinet dan Majlis Tertinggi Umno dan hadirin yang hadir. Beberapa hari kemudian saya dijemput oleh Pemuda Parti Keadilan untuk memberikan tazkirah, tapi saya tidak sempat. Semasa saya sampai ke United Kingdom, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjemput saya memberikan ucapan dalam Majlis DAP. Cuma saya tidak dapat pulang. Saya berharap saya sudah cuba melakukan sesuatu. Saya cuba mengemukakan 'politik idea' mengatasi sempadan politik kepartian. Apa yang menjadi matlamat bukan menegakkan parti tertentu, tetapi menegakkan fikrah Islamiyyah yang lebih besar dari kesempitan parti. Alhamdulillah, jumlah pembaca artikel saya juga begitu besar. Melalui ruangan saya dalam Minda Mufti, saya bersahabat baik dengan berbagai insan ternama. Saya rasa banyak mesej saya telah sampai. Saya memerah tenaga dalam tempoh dua tahun. Bersabar atas kerenah mereka yang suka memfitnah atau mengganggu perjalanan tersebut. Saya harap Allah berikan pahala atas itu semua. Harakah sendiri pada awalnya begitu prajudis, tetapi setahun tahun sebelum saya berhenti, kelihatannya positif. Akhirnya, apabila saya rasa ruang jawatan itu 'sudah mula sempit' atau sudah memadai, maka saya beristikharah untuk berhenti. Itupun baik juga. Ia menafikan fitnah mereka yang 'tidak sayang lidah mereka di akhirat' bahawa kenyataan atau pendapat saya selama ini untuk kesinambungan jawatan. Alhamdulillah, sama sekali tidak. Semoga Allah merezekikan kita semua melihat jawatan dan kedudukan dengan penuh rasa amanah dan gerun. .Dr. dilihat sangat vokal dan adakalanya 'mempersembahkan' pemikiran agama dari sudut yang berbeza, adakah mencari kelainan serta seringkali mentafsirkan hukum agama dari sudut yang berbeza dan adakalanya tidak pernah didengari umum seperti soal-soal bidaah seperti kenduri arwah, tahlil di kubur dan dikatakan tidak mengikut tradisi yang telah dilakukan oleh nenek moyang? Adakah mereka tidak betul sebelum itu ? Malah Dr. dilabel sebagai liberal, kaum muda dan wahabi dan sebagainya lantaran pembaharuan yang dibawa? Baca Selanjutnya:- http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=19425&Itemid=1 |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Rakyat muak, generasi muda alergik dengan Umno - Dr Asri
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan