KOTA HARU, 2 Jun (Hrkh) - Bagi menyemarakkan lagi pembangunan sektor pertanian di Kelantan kerajaan negeri akan melancar kempen kesedaran yang bertema 'bertani adalah ibadat'. Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tema itu diharap dapat membangkitkan kesedaran di kalangan rakyat bagi menarik minat mereka terbabit dalam sektor pertanian. "Kempen kesedaran lebih ditumpukan khusus kepada golongan belia supaya mereka memahami bertani sebagai kerja ibadat. "Melalui bertani juga kita dapat menghasilkan lebih banyak makanan. Lebih-lebih lagi sekarang masalah kekurangan makanan bakal berlaku di seluruh dunia akibat kegawatan ekonomi," katanya di sini. Menurutnya tenaga pendakwah dari Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan akan diberi tanggungjawab menyedarkan masyarakat berhubung perkara itu melalui kuliah-kuliah agama. Oleh itu beliau berkata, sebanyak RM200,000 akan diperuntukan kerajaan negeri bagi menjayakan kempen kesedaran tersebut yang juga turut mendapat kerjasama Jabatan Pertanian. Katanya juga bagi menjayakan program kesedaran berkenaan kerajaan negeri akan menggerakkan program pemulihan tanah-tanah terbiar dengan pelbagai jenis tanaman termasuk padi. "Sebelum ini kerajaan negeri pernah mengadakan kempen kepada pegawai kerajaan dan pemimpin politik mengenai tanggungjawab dan tugas mereka merupakan satu ibadat," ujarnya. Menteri Besar berkata, Nabi Muhammad saw sendiri menyebut mana-mana manusia yang menanam pokok sehingga ada binatang yang menyinggahinya atau tumpang berteduh, penanam pokok itu akan mendapat ganjaran pahala. Kata beliau tema baru itu akan dilancarkan sempena sambutan Hari Peladang Peringkat Negeri pada Julai depan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan