"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muktamar PAS 55 : Muslimat sokong padu perjuangan PAS dalam Pakatan Rakyat - Nuridah

Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wan Zahari Wan Salleh

SHAH ALAM, 4 Jun (Hrkh) - Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh mengingatkan aktivis muslimat PAS agar mempertingkat usaha dan sumbangan memajukan PAS dalam suasana politik mutakhir ini.

ImageBeliau menegaskan muslimat tetap menyokong padu perjuangan PAS dalam Pakatan Rakyat walaupun pelbagai dugaan dihadapi.

Ingatan itu disampaikan dalam inti ucaptama Ketua Muslimat sempena Mutamar Dewan Muslimat PAS kali ke-49 yang sedang berlangsung di Auditorium MBSA, dekat sini.

Berucap lanjut,Nuridah berkata muslimat perlu menyedari bahawa politik negara hari ini telah dicemari dengan pelbagai amalan rasuah, penyelewengan dan ketidakadilan.

"Ramai ahli-ahli politik di negara ini telah dilabelkan oleh sebahagian besar rakyat sebagai perompak harta negara, yang mana mereka menggunakan kedudukan dan kuasa untuk mendapatkan keuntungan dan wang ringgit bagi kepentingan diri,"katanya.

Kesibukan mencari ruang-ruang kepentingan diri menyebabkan kurangnya masa untuk memikirkan pembangunan negara dan kepentingan rakyat, katanya.

Sekiranya ada yang mengkritik dan membangkang, maka pelbagai tindakan politik akan dikenakan sehingga ramai yang terpaksa berdiam diri walaupun nampak penyelewengan yang jelas di depan mata mereka,ujarnya.

"Namun begitu, PAS dan parti-parti rakan dalam gabungan Pakatan Rakyat tidak pernah gentar dengan ugutan dan tindakan mereka. Kebenaran dan keadilan terus dilaungkan dan ditegakkan.

"Dewan Muslimat ingin menegaskan kepada semua aktivitis PAS dan Pakatan Rakyat bahawa kami sentiasa memberikan sokongan padu dan akan terus bersama walau apa dugaan sekalipun yang akan mendatang,"katanya lagi.

Dewan Muslimat akan bersama menyumbangkan usaha-usaha yang telah dirancang oleh PAS Pusat dalam agenda membawa ciri-ciri Islamiyah dalam berpolitik dan bernegara, tambahnya.

Sesungguhnya kesyumulan Islam hanya dapat dinikmati melalui amal yang berterusan bukan sekadar retorik sahaja, ujarnya.

Jika tidak terjadilah suasana seperti Umno yang mengagungkan Islam sebagai satu tamadun lampau yang dapat dilihat kesyumulannya hanya pada lipatan sejarah dan juga pada lembaran kertas kitab-kitab yang tersusun baik di perpustakaan, katanya.


Tiada ulasan: