"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akibat Meletak Undang-undang Ditangan Sendiri

Penoreh Disangka Mencuri Mati Dibelasah
Seorang penoreh getah yang disangka mencuri peralatan di sebuah tokong meninggal dunia semalam akibat dibelasah tujuh lelaki di tokong terbabit di Km74 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuantan dekat Karak, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ACP T.Narenasagaran berkata kesemua suspek yang berjaya ditahan itu berusia 21 hingga 51 tahun bertindak membelasah lelaki yang berusia 43 tahun itu ketika dia berada di tokong itu pada jam 10 pagi.

Beliau berkata tokong terbabit pernah kehilangan pelbagai peralatan keagamaan bernilai kira-kira RM5,000.

"Kesemua suspek yang mengesyaki mangsa merupakan percuri itu bertindak membelasah mangsa sehingga mangsa mengalami kecederaan parah sebelum dihantar ke Hospital Bentong," katanya ketika ditemui pemberita di Kuantan hari ini, lapor Bernama

Narenasagaran berkata orang awam yang menyaksikan kejadian itu menghubungi abang mangsa yang berada di Bentong dan melaporkan perkara itu di Balai Polis Karak.

Beliau berkata mangsa yang berada dalam keadaan kritikal akibat dipukul dihantar ke Hospital Temerloh untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia di hospital terbabit pada jam 7.30 pagi semalam.

Sementara itu, Narenasagaran berkata seorang wanita kerugian RM900 selepas diragut empat remaja, termasuk tiga perempuan di belakang Sekolah Sultan Abdullah, Jalan Wong Ah Jang di sini semalam.

Beliau berkata kejadian pada jam 7.15 malam itu berlaku ketika mangsa yang berusia 28 tahun itu berada di kawasan berkenaan dan dipanggil oleh tiga remaja perempuan dan seorang remaja lelaki.

"Seorang daripada mereka merentap rantai leher yang dipakai mangsa manakala seorang lagi bertindak mengambil telefon bimbitnya sebelum melarikan diri," katanya.

Ekoran kejadian itu, beliau berkata dua remaja perempuan berusia 14 dan 18 tahun ditahan dan dua lagi masih diburu.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: