"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

300,000 pelancong lawat Masjid Negara

TATKALA kaki melangkah menaiki tangga batu marmar hitam menuju ke ruang solat utama Masjid Negara, kenangan lebih dua dekad lalu kembali menerjah. Apa tidaknya, perjalanan pendek itu mengembalikan memori manis dan pengalaman indah penulis ketika pertama kalinya mengikuti lawatan sambil belajar ke kota metropolitan Kuala Lumpur.

Kini usia Masjid Negara sudah mencecah 44 tahun. Sudah pastinya, mercu tanda negara yang tiada tolok bandingannya ini telah melalui pelbagai transformasi sejajar dengan pembangunan negara.



Lebih membanggakan Masjid Negara turut menerima pengiktirafan Jabatan Warisan, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan pada tahun 2007.

Perbezaan paling ketara adalah dari sudut kunjungan para pelancongnya. Kalau dahulu pelancongnya boleh dikatakan terdiri daripada masyarakat tempatan, kini Masjid Negara menerima kunjungan para pelancong luar negara.

Sebahagian besar pelancong itu adalah dari Eropah, Jepun, Korea Selatan, Singapura, China dan Timur Tengah.

Hal ini juga diakui Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid Negara, Azhar Tuarno, 35.

Kata beliau, tahun lepas, Masjid Negara menerima hampir 300,000 pelancong yang datang dari seluruh pelosok dunia. Malah dianggarkan purata pelancong asing yang datang sehari adalah di antara 500 hingga 600 orang, manakala dalam sebulan, sejumlah 20,000 pelancong asing mengunjunginya.

"Angka ini sudah cukup membuktikan kejayaan Masjid Negara dalam menarik pelancong," katanya dalam pertemuan dengan MEGA, baru-baru ini.

Apatah lagi, lokasi masjid di kawasan yang strategik iaitu berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu, Bangunan Daya Bumi, Pejabat Pos Besar Malaysia, Planetarium Negara, Muzium Kesenian Islam Malaysia, Bangunan Pusat Islam dan taman-taman rekreasi.

Ia juga selari dengan kempen kerajaan yang melancarkan Tahun Melawat Malaysia dengan mensasarkan pusat-pusat keagamaan sebagai destinasi pelancongan atau dikenali dengan konsep pelancongan keagamaan, sebagaimana yang sedang berkembang pesat sekarang ini. Selain menjadi satu medium dakwah melalui konsep pelancongan.

Menurut Azhar, pihaknya menerima banyak respons di mana aspek yang menjadi daya tarikan pelancong terutama pelancong bukan Islam ketika melawat masjid ialah tentang keindahan menara, seni bina masjid, mihrab, mimbar, hiasan dalaman masjid yang tenang, tempat wuduk, peranan imam, kemerduan suara muazin, peranan makmum dan cara umat Islam bersolat.

"Mungkin sebahagian masyarakat Islam melihat perkara-perkara di atas tidak ada yang istimewa, tetapi bagi orang bukan Islam ia adalah sesuatu yang perlu diketahui secara mendalam kerana nyata suasana ketenangan rumah Allah itu berbeza dengan dengan suasana rumah ibadat agama lain.

"Alhamdulillah, kesannya ada di kalangan pelancong asing ini, sudah memeluk Islam. Sayangnya kami tidak menyimpan statistik sebenar," kata beliau yang juga salah seorang Imam Masjid Negara.

Bacaselanjutnya:-http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=2657&mode=thread&order=0&thold=0

Tiada ulasan: