"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Manek Urai: Menteri buat tuntutan elaun ketika datang berkempen?

Lanjusoh

KUALA KRAI (Hrkh) - Mungkinkah kedatangan begitu ramai menteri ke Manek Urai sekarang menggunakan wang hasil cukai dibayar rakyat. Malah pernah berlaku pemimpin kerajaan dari Melaka membuat tuntutan elaun ketika berkempen pada pilihan raya kecil di utara.

Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, PAS bimbang dengan kehadiran begitu ramai menteri ke Manek Urai sekarang dikhuatiri menggunakan wang kerajaan.

"Ada kes di mana pemimpin yang datang berkempen membuat tuntutan perjalanan dan pelbagai elaun lain. Ada rekod mengenai perkara itu. Ini yang kita bimbang sekiranya berulang di Manek Urai sekarang.

"Ini secara jelas menggambarkan penggunaan jentera kerajaan begitu berleluasa sekali dalam pilihan raya," katanya pada persidangan media di Markas Induk PAS di sini, hari ini.

Penggunaan secara berleluasa jentera kerajaan dapat dilihat dari awal di Manek Urai apabila banyak kenderaan milik agensi kerajaan pusat keluar masuk kampung.

Antara yang sering dilihat termasuk Kesedar, Kemas, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi-agensi lain.

Malah menteri dan pengerusi lembaga pengarah termasuk Risda secara jelas datang berkempen di Manek Urai dengan menawarkan bantuan kerajaan kepada rakyat.

Manakala menteri pula datang saling berganti menganjurkan pelbagai program bersama masyarakat.

Manakala esok difahamkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Ismail Sabri Yaakob menganjurkan program bersama pengguna di sebuah kedai di Kampung Manek Urai Baru.

Wan Abdul Rahim yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata, berlainan dengan PAS tidak ada program besar dianjurkan kerajaan negeri melibatkan banyak peruntukan.

Dan katanya, kedatangan pemimpin kerajaan negeri ketika berkempen tidak pernah membuat tuntutan perjalanan dan lain-lain elaun sebagaimana dilakukan pihak lawan.

Menurutnya penggunaan helikopter oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap sebagai berleluasa setiap datang ke Manek Urai.

"Sehingga kini sudah beberapa kali Timbalan Presiden Umno datang ke Manek Urai. Setiap kali datang tiga helikopter digunakan. Tidakkah ini dinamakan sebagai salah guna jentera kerajaan.

"Rakyat di sini boleh melihat sendiri apa yang berlaku. Dan mereka dapat menilaikan. Tetapi kalau di negara lain sudah lama rakyat memberontak," ujar beliau.

Beliau juga memberitahu belum ada wakil rakyat di Manek Urai yang menang pada pilihan raya sebelum ini mempunyai pendidikan tinggi kecuali Dato' Afiffin Said pada 1982.

Kata beliau apa yang dimahukan rakyat iaitu mempunyai wakil rakyat yang dekat dengan kehidupan harian mereka terutamanya mampu menyelesaikan masalah pemilikan tanah.

Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana pihak lawan menggelarkan calon PAS, MOhd Fauzi Abdullah sebagai peraih ikan, sedangkan beliau ialah pemborong. Terdapat perbezaan yang jelas di antara dua istilah tersebut.

"PAS dukacita dengan gelaran yang diberi. Sebab itulah pada Jumaat ini Persatuan Pemborong Ikan Kelantan akan menghimpunkan ahli dari seluruh Kelantan untuk menyatakan sokongan padu kepada Abe Uji.

Tiada ulasan: