PULAU PINANG, Feb 1: Bekas ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Mohd Razali Abdullah menfailkan saman sebanyak RM10 juta terhadap Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun hari ini kerana memfitnahnya dengan niat jahat termasuk mendakwanya ekstremis Islam.
Mohd Razali Abdullah yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan saman melalui peguamnya, Abdul Fareed Abdul Gafoor di Mahkamah Tinggi di sini.
Pernyataan tuntutan itu menjelaskan, Ooi (gambar) yang juga Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri membuat kenyataan seumpama itu mengenai plaintif secara berulang dan disiarkan dalam surat khabar tempatan, laman web dan portal Internet.
Menurut pernyataan tuntutan dalam writ saman itu, perkataan yang dikeluarkan itu adalah tidak berasas dan difahamkan sebagai membawa makna seperti fitnah dan berniat jahat dan dinyatakan secara sindiran.
Mohd Razali berkata tindakan saman itu dibuat selepas Ooi masih enggan membuat permohonan maaf walaupun telah diberikan tempoh yang agak lama.
Sementara itu, Ooi berkata, beliau menerima apa saja tindakan yang diambil Mohd Razali terhadapnya dan semuanya akan diuruskan oleh peguamnya.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan