"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

RM22,000 sebulan dibazirkan untuk KP DBP yang berusia 66 tahun!

Abdullah Abd Gafar
KEMARAHAN Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang terhadap Menteri Pelajaran berhubung dengan kelambatannya bertindak terhadap dua orang guru besar yang bersikap perkauman boleh difahami. Ini kerana Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga kini masih berdolak-dalih dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan tentang tindakan terhadap dua orang Guru Besar rasis tersebut.

Muhyiddin kata dia tiada kuasa mengenakan tindakan disiplin sementara Sidek pula kata siasatan sedang dijalankan.Kelambatan Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pelajaran memang jelas kelihatan. Begitu juga dengan Sidek Hassan pun nampak tidak bermaya.


DBP TIADA PENGERUSI SEJAK APRIL LALU 

Hal ini jelas kelihatan dalam isu kepimpinan DBP. Penulis dimaklumkan oleh sumber dalaman DBP bahawa DBP tidak mempunyai Pengerusi Lembaga Pengelola semenjak pertengahan April sehingga sekarang.

Apakah terlalu sukar untuk Muhyiddin melantik seorang Pengerusi Lembaga Pengelola DBP menggantikan Johan Jaafar sehingga dalam tempoh 5 bulan, jawatan tersebut masih tidak terisi?

Penulis terpandang di dalam akhbar-akhbar arus perdana minggu lepas, wajah Ketua Pengarah DBP sering muncul di dalam akhbar-akhbar tersebut. Apa yang menarik perhatian penulis wajah Ketua Pengarah DBP telah kelihatan agak tua, dan lebih tua kelihatannya daripada Menteri Pelajaran sendiri.

Menurut sumber dalam DBP lagi yang memberitahu penulis, Ketua Pengarah DBP dilahirkan pada 7 November 1944 yang bermakna hampir berumur 66 tahun tidak berapa lama lagi.

KP DILANTIK KERANA KRONI JOHAN JAAFAR
Dia yang penulis tahu bukanlah seorang sarjana atau sasterawan terkenal, yang sepatutnya menduduki kerusi Pengarah DBP. Khabarnya pelantikannya kerana dia kroni rapat bekas Pengerusi Lembaga DBP, Johan Jaafar.

Dikhabarkan lagi, walaupun Johan telah tidak menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, tetapi pengaruhnya terhadap Ketua Pengarah DBP masih sangat kuat. Segala arahan Johan Jaafar diikuti oleh dia termasuk menghapuskan Jabatan Sastera di DBP.

Penulis difahamkan pelantikan Ketua Pengarah DBP (Termuzi Abd Aziz) adalah bertentangan dengan pekeliling perkhidmatan bilangan 2 tahun 2008, Dasar dan Prosedur Perlantikan secara kntrak kerana telah lanjut usia dan tidak mengikut prosedur pelantikan.

Termuzi dilantik secara kontrak sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa Pustaka bermula pada 1 Februari 2009 hingga 31 Januari 2011.

Ini bermakna, semasa dilantik sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa, dia telah berumur 64 tahun sedangkan kebanyakan penjawat awam jarang yang berkhidmat selepas berumur 60 tahun.

Contohnya bekas KPN, Tan Sri Musa Hasan. Musa Hasan tidak disambung kontraknya menjelang umurnya 60 tahun.

Adalah sesuatu yang menghairankan, Termuzi telah berumur 64 tahun masih dilantik Ketua Pengarah DBP sedangkan perkara ini bertentangan dengan pekeliling di atas. Apakah JPA hanya mampu membuat peraturan tetapi tidak berdaya untuk melaksanakannya?  

Diharap Menteri Pelajaran atau Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran dapat menyemak surat pelantikan Termuzi sebagai Ketua Pengarah DBP.

Begitu juga dengan Termuzi, janganlah hanya seperti ayam jantan, hendak melaksanakan peraturan DBP tetapi kokoknya sahaja berderai-derai. Namun hakikatnya, ekornya bergelumang najis.

TERMUZI MINTA SAMBUNG KONTRAK 2 TAHUN LAGI
Satu perkara yang melucukan ialah, menurut sumber dalaman Kementerian Pelajaran, walaupun umurnya hampir 66 tahun, tetapi Termuzi dengan tidak sedar dirinya memohon supaya kontraknya disambung 2 tahun lagi kepada Menteri Pelajaran.

Alahai manusia, sedarlah bahawa anda duduk di DBP bukan kerana kebolehan dan peraturan tetapi kerana kroni dan kerakusan.

Sementara itu, menurut sumber dalaman DBP lagi, mengikut buku laporan tahunan DBP, semenjak dikonsesikan dari tahun 2002, DBP sentiasa mengalami kerugian iaitu hampir-hampir 40 juta setiap tahun sehingga sekarang.

Selain mengalami kerugian, sistem pengurusan penerbitan DBP pun kacau-bilau dan pelik. Proses penerbitan buku di DBP mempunyai 2 jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Editorial dan Jawatankuasa Penerbitan.

Setiap buku yang hendak terbit di DBP mesti melalui penilaian Jawatankuasa Editorial.

BANYAK BENDA PELIK DI DBP
Apa yang peliknya, walaupun Jawatankuasa Editorial telah meluluskan manuskrip tersebut untuk penerbitan, tapi kadang-kadang ia ditolak oleh Jawatankuasa Penerbitan.

Perkara yang pelik sering berlaku - yang menolak manuskrip tersebut ialah orang yang bukan dalam bidang ilmu tersebut dan berkelulusan ijazah pertama sahaja sedangkan manuskrip tersebut telah dinilai oleh orang yang pakar bidang dan mempunyai ijazah Doktor Falsafah.

Bayangkan bagaimana orang yang ada ijazah pertama bukan dalam bidang ilmu menolak manuskrip yang telah dinilai oleh pakar bidang dan penulis manuskrip tersebut mempunyai ijazah Doktor Falsafah.

Ahli Jawatankuasa Penerbitan itu duduk di situ kerana dia adalah kroni kepada Johan Jaafar. Semua pekerja DBP maklum kecuali pengampu Johan Jaafar. Johan Jaafar ialah seorang yang sangat mementingkan kroni dan pengampunya di DBP.

PERANAN PERKASA?
Kepada wira Melayu Perkasa, cubalah anda fikirkan, apa perlunya seorang yang telah bersara dari perkhidmatan awam dibayar gaji dan elaun sebanyak RM22,000 sebulan sedangkan dia tidak layak untuk mengetuai sebuah institusi Melayu yang penting untuk menjaga sastera dan kebudayaan Melayu.

Perkasa lebih patut menjaga DBP dari sibuk untuk memulangkan duit RM1000 yang disumbangkan oleh Kerajaan Selangor melalui wakil rakyat bukan Melayu, Y.B Teo Nie Ching, ahli parlimen Serdang di sebuah surau di Bangi pada bulan Ramadan lalu.

Tiada ulasan: