"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa Yang Bakal Tersungkur?

IZMAS
SEORANG pemimpin muda yang amat berpotensi dari Pakatan Rakyat (PR) dalam wawancara dengan sebuah TV swasta telah mentafsrkan perkataan ‘tersungkur' yang ditujukan kepada seorang bekas perdana menteri negara ini sebagai perkataan yang lunak dan wajar digunakan.

Ini katanya bertepatan dengan sokongan dan dokongan kuat yang sudah diberikan bekas perdana menteri itu kepada Perkasa. Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis mesyuarat pemilihan cabang partinya, PKR dalam suasana dewan yang suram dan sepi dengan kehadiran ahli yang boleh dikira dengan jari. 

Perwakilan yang hadir dikatakan tidak sampai 200 orang - sepatutnya dianggarkan kehadiran lebih 4000 ahli berdaftar - yang menjadi penyokong kuat beliau. Kehadiran yang diluar dugaan itu tidak sepadan jika dikaitkan dengan ketokohan dan kewibawaan beliau yang dikatakan boleh mudah menang dalam pertandingan merebut jawaran nombor dua partinya.

Semburan kata ‘tersungkur’ ditujukan kepada bekas perdana menteri keempat negara yang kebetulan dimasukkan ke hospital di luar negara kerana disyakki dijangkiti kuman di dada. Ketika perkataan itu dikeluarkan, rakyat menjadi sedikit resah, gelisah dan mungkin tergambar seolah-olah bekas perdana menteri itu dalam situasi kritikal, mungkin tenat dan perlukan pembedahan segera. 

Namun, sebenarnya keadaan beliau tidaklah seteruk dan tidaklah ‘tersungkur’ seperti yang digambarkan naib presiden PKR itu. Perkembangan terbaru mendedahkan, bekas perdana menteri itu sudah beransur sihat, bakal dikeluarkan dari hospital dan pulang ke tanah air dalam pada hujung minggu ini. 

Pengunaan perkataan ‘tersungkur’ naib presiden PKR itu mendapat kritikan hebat banyak pihak termasuk Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menganggap sebagai perkataan yang bersifat kurang wajar ditujukan kepada seorang tokoh negarawan yang banyak berjasa kepada negara. Kata Muhyiddin, perbuatan pemimpin PKR itu menunjukkan akhlak dan peribadi sebenar pemimpin itu yang sumbangannya kepada negara amat jauh berbeza seperti langit dengan bumi dibandingkan dengan sumbangan yang sudah tercatat dalam sejarah oleh bekas perdana menteri itu kepada negara. 

Menurut sumber, pemimpin itu melontarkan perkataan ’tersungkur’ ada kaitan dengan dewan kosong yang dihadirinya dan percubaan mengalihkan isu sebenar yang sedang dihadapi pemimpin itu atas tuduhan membuat perancangan bagi menjatuhkan rakan partinya sebagai menteri besar di sebuah negeri yang dikuasai PKR dan berbagai tuduhan lain yang menunjukkan pemimpjn muda yang dikatakan menjadi anak emas penasihat umum partinya mempunyai niat untuk melakukan apa saja demi mencapai matlamat peribadinya. 

Beliau kini dikatakan dalam situasi sukar menjelang pemilihan partinya terutama selepas kehadiran Datuk Zaid Ibrahim yang bersedia mencabar beliau bagi jawatan timbalan presiden. Zaid sudah dikritik hebat oleh beliau dan penyokongnya dengan pelbagai tuduhan liar yang menunjukkan kedudukan beliau dalam parti belum selamat dan mungkin juga ‘tersungkur’ jika majoriti ahli membuat keputusan drastik memilih Zaid sebagai orang luar yang layak mendudukki kerusi nombor dua parti. 

Hal itu boleh berlaku dan tidak siapa dapat meramalkan. Calon yang banyak menerima pencalonan belum tentu maraih kemenangan mudah. Zaid Ibrahim bukanlah orang baru dalam politik dan cukup berpengalman dalam banyak pertandingan jawatan tinggi dalam parti Umno sebelum ini. 

Politik adalah permainan serba mungkin (politic is a game of possibilities). Kemenangan dan kekalahan adalah biasa dalam pertandingan dan seharusnya diterima dengan lapang dada kecuali kemenangan yang dipaksa; diselubungi dengan berbagai rancangan kotor dan tidak bermoral. 

Pemimpin Islam yang baik – tidak kira dari pembangkang atau pemerintah – sudah diajar oleh agama kita yang suci lagi mulia ini supaya berakhlak mulia dan menjaga mulut ketika bertutur takut-takut perkataan yang dikeluarkan itu berbalik ke muka sendiri. Walaupun dalam situasi amat terdesak dan hampa sekalipun tidak seharusnya seorang pemimpin itu menghina seorang pemimpin lain kerana ditakuti akhirnya membuka tembelang keperibadian dan akhlak sebenar pemimpin itu di mata rakyat dan ahli partinya sendiri. 

IZMAS, 
08hb Oktober, 2010  

Tiada ulasan: