"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah agih 380 lembu korban

Mohd Shubihi Muhamad Zain
ALOR SETAR, 14 Nov: Kerajaan Negeri Kedah telah mengagihkan sejumlah 380 ekor lembu yang sebahagian besarnya disumbangkan anak-anak syarikat kerajaan negeri (GLC) untuk dijadikan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha nanti.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hadir menerima sumbangan tersebut di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, semalam.

Pada tahun ini, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah telah menyumbang sebanyak 120 ekor lembu korban, Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah (20), Bina Darulaman Berhad (20), Yayasan Islam Negeri Kedah (10), Yiked Holding Sdn. Bhd. (10), Perbadanan Menteri Besar Kedah (18) dan selebihnya adalah merupakan sumbangan kerajaan negeri sendiri.

Azizan kemudiannya mengagihkannya itu kepada kesemua wakil-wakil rakyat, agensi-agensi negeri dan persekutuan, sekolah-sekolah agama rakyat yang akan bertanggungjawab menguruskan penyembelihannya pada hari raya korban nanti.

Dalam ucapannya, Azizan berterima kasih kepada GLC yang sekian kalinya memberikan sumbangan lembu korban dan menyifatkannya sebagai hadiah untuk rakyat di negeri itu.

"Pemberian daripada syarikat yang terlibat merupakan salah satu usaha melangkah ke hadapan dalam membantu golongan yang memerlukan dan saya berharap agar usaha ini dapat diteruskan.

"Sumbangan ini adalah hadiah untuk rakyat negeri Kedah agar mereka dapat melaksanakan ibadah korban yang menjadi simbol ketakwaan orang-orang yang beriman," katanya.

Turut hadir ialah pemimpin-pemimpin kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan dan penerima-penerima sumbangan tersebut.

Tiada ulasan: