"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN Bertemu Sabtu Ini Bincang PRU Ke-13?


KUALA LUMPUR, 17 NOV: Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) dikatakan akan bersidang Sabtu ini bagi membincangkan persediaan awal pilihan raya umum tergempar yang dijangka awal tahun depan, lapor portal The Malaysian Insider.

Laporan itu menyebut, sumber-sumber dari Barisan Nasional memberitahu bahawa tempoh beberapa bulan akan datang ini merupakan saat paling penting dengan melihat kepada perkembangan politik termasuk sedikit pergolakan yang berlaku di dalam Pakatan Rakyat.

Spekulasi menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan memanggil pilihan raya umum ke-13 untuk mendapatkan mandat segar pada separuh pertama tahun depan dan sesi Dewan Rakyat semasa adalah yang terakhir.

“Kesemua (langkah persiapan) sedang digerakkan ke arah pilihan raya umum akan datang,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.

Umno dijangka akan mengumumkan perubahan barisan kepimpinan negeri khususnya di lima negeri yang ditadbir oleh pemimpin tertinggi parti itu pada 26 November ini.

Tindakan itu selepas Presiden MIC, Datuk seri S. Samy Vellu mengumumkan akan melepaskan jawatan yang disandang lebih 30 tahun itu awal Januari depan.

BN dijadual mengadakan konvensyennya tahun ini dan Umno pula dikatakan akan mengadakan siri pertemuan dengan ahli dan penyokong mereka di seluruh negara awal tahun depan. 

Sementara itu, Gerakan juga dikatakan akan mengumumkan bakal calon mereka dalam tempoh yang sama. 

Mesyuarat Sabtu ini dikatakan diadakan ketika semua mata tertumpu kepada pilihan raya umum negeri Sarawak yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Laporan itu juga turut menyebut, BN kini sedang berusaha menyelesaikan beberapa isu utama antaranya kes projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), persepsi berkaitan kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim dan punca kematian misteri Teoh Beng Hock ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, sebelum memanggil pilihan raya umum tergempar.
-tvsnews-

Tiada ulasan: