"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Hina' DUN S'gor: Peguam Umno enggan hadir

Peguam Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun menegaskan bahawa beliau tidak akan hadir untuk memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada hari Jumaat nanti, berkaitan dakwaan kononnya beliau menghina dewan itu.

Beliau yang menyifatkan saman hadir yang dikeluarkan dewan itu sebagai satu ugutan politik untuk menghalangnya daripada melaksanakan tugas sebagai peguam berkata, keputusan itu diambil atas pelbagai sebab termasuk tidak mahu tunduk kepada bidang kuasa yang mana beliau bukan anggotanya.

"Saya akan lihat apa yang voleh dilakukan dari segi undang-undang berkaitan tindakan mereka memanggil saya sebagai peguam adalah tindakan yang bertentangan dengan undang Negeri dan Persekutuan," katanya di Kuala Lumpur, semalam.

perak state govt crisis 030309 hafarizam harunMohd Hafarizam, dari firma guaman Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak, merupakan salah seorang peguambela dan peguamcara ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang kerusinya diisytihar kosong oleh Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim atas alasan Badrul Hisham tidak hadir sidang DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah. 

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Badrul Hisham kekal sebagai ADUN Pelabuhan Klang selain turut memerintahkan Teng membayar kos RM40,000 kerana tindakannya mengisytihar kekosongan kerusi itu.

Teng kemudiannya memfailkan permohonan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu dan bertegas Speaker DUN mempunyai kekebalan untuk mengisytihar kerusi berkenaan kosong.

Sidang DUN pada 1 April kemudiannya meluluskan usul mengenakan tindakan terhadap Badrul Hisham dan Mohd Hafarizam (atas, kiri) kerana kesalahan menghina Dewan, dan Timbalan Speaker Dewan Haniza Mohamed Talha ketika meluluskan usul itu berkata kedua-dua mereka akan dikenakan tindakan bersama atau berasingan kerana menghina Teng dalam sepucuk surat bertarikh 29 Mac lalu.

Haniza berkata ini kerana bahasa surat yang digunakan mereka dianggap tidak senonoh, biadap dan mengugut.

NONESementara itu Mohd Hafarizam berkata firma guamannya tidak pernah menghantar apa jua surat terus kepada Speaker DUN Selangor, sebaliknya surat bertarikh 20 Mac itu dihantar kepada Tetuan Tommy Thomas, peguam kepada Teng (bawah, kanan), untuk menuntut kos yang diberikan melalui perintah Mahkamah.

"Kalau surat daripada firma guaman saya itu didapati menghina dewan, kenapa surat saman hadir itu ditujukan kepada saya seorang dan tidak bersekali dengan rakan kongsi saya yang lain," katanya.

Mohd Hafarizam berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang perlu bagi menjaga hak dan kepentingan beliau sekiranya Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor tidak menarik balik saman berkenaan dengan serta merta.

Dalam pada itu Badrul Hisham yang turut hadir mengakui akan mengadap jawatankuasa berkenaan selepas dinasihatkan oleh peguamnya untuk berbuat demikian.

"Saya akan hadir, itu yang dinasihatkan oleh peguam saya," katanya.
-Bernama-

Tiada ulasan: