"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas 20 hari ditahan ISA, Kadir dibebas tapi masih trauma


KUALA LUMPUR: Mangsa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Kadir Hashim  yang ditahan di bawah akta zalim itu pada 1 April lalu dibebaskan hari ini.
Menurut abang mangsa, Muda Hashim, 46,  adiknya itu, yang juga merupakan orang Kelainan Upaya (OKU), dibebaskan lebih kurang jam 3 petang tadi.
“Polis menghantar adik saya dengan kereta yang diringi tiga anggota polis yang saya agak dari Balai Polis Bukit Aman.
“Walaupun terkejut dengan kehadiran polis sebentar tadi, namun saya gembira dengan pembebasan Kadir sekaligus menghilangkan rindu ibu terhadapnya,”  kata Muda.
Ditanya mengenai keadaan Kadir selepas selamat sampai  ke rumah, Muda memberitahu adiknya mungkin trauma kerana masih membisu tanpa menceritakan kejadian penangkapnnya lebih kurang 20 hari.
“Jika dilihat dari segi fizikal dia sihat, tetapi tidak bercakap apa-apa selepas dihantar ke rumah tadi. Saya juga mahu dia berehat seminggu dua dahulu sebelum bertanyakan mengenainya semasa ditahan polis,” katanya.
Kata Muda, semasa bertanyakan dengan polis berkenaan penangkapan Kadir, mereka  memberi amaran supaya tidak menimbulkan masalah lagi.
“Saya tanya apa yang dibuat Kadir sehingga ditangkap akta ISA, tetapi mereka (polis) memberi amaran supaya tidak menimbulkan masalah.
“Kadir dibebaskan tanpa apa-apa syarat dan mereka turut menyerahkan beberapa barang yang diambil semasa menahan Kadir tempoh hari,” ujarnya.
Kadir, 42, seorang peniaga tomyam yang juga ahli KEADILAN Cabang Lembah Pantai ditangkap polis 1 April lalu mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri atas dakwaan terlibat dalam kegiatan subversif iaitu aktiviti untuk melemahkan atau memusnahkan sesuatu sistem politik, kerajaan, agama, dengan menjalankan aktiviti tertentu secara sulit.

Tiada ulasan: